Thursday, October 6, 2011

Bajet bayangan pembangkang sekadar janji populis

PAKATAN pembangkang boleh menjanjikan apa sahaja, hatta 'bulan dan bintang'. Namun rekod di beberapa negeri yang diperintah mereka menunjukkan apa yang dijanjikan kepada rakyat tidak pernah tertunai. Malah dipenuhi pembohongan.

Apabila Anwar Ibrahim kelmarin memperkenalkan 'bajet bayangan'nya menjelang pembentangan Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen esok, kita semua maklum apa lagilah helah Ketua Pembangkang ini.

Apabila belum berkuasa dan 'poket kosong', semua orang boleh berjanji apa sahaja. Cuba amati manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008. Banyak janji ditabur belum lagi tertunai.

Apabila Anwar menjanjikan 'bajet bayangannya', semua mata pasti tertumpu kepada janji-janji lepasnya. Biarpun bantuan RM100 yang dijanjikan kepada warga emas sebelum ini belum mampu dilaksanakan, kelmarin dia menjanjikan perkara sama tetapi kali ini menambah pula kepada RM1,000 untuk tempoh setahun termasuk bayaran bonus kepada suri rumah dan menyelaraskan penerima bantuan kebajikan masyarakat kepada RM550 sebulan.

'Bajet bayangan' pembangkang ini tidak ubah seperti janji yang ditaburnya dalam Buku Jingga keluaran mereka jika berkuasa. Hakikatnya, Buku Jingga tidak menjelaskan dari mana sumber kewangan untuk melaksanakan janji-janji tersebut.

Disorot janji pembangkang dalam buku itu untuk memastikan pendapatan isi rumah minimum RM4,000 sebulan jika pakatan pembangkang berkuasa kelak, apakah ia boleh dicapai?

Sumber memberitahu Utusan Malaysia bahawa untuk mencapai pendapatan isi rumah seminimum itu, kadar pertumbuhan ekonomi perlu berada pada tahap 21.7 peratus. Negara China sendiri yang merupakan paling tinggi pertumbuhan ekonominya pun sekadar pada tahap 10 peratus.

Ternyata, rakyat cuba diperbudak-budakkan pembangkang semata-mata untuk memancing undi dengan tawaran pendapatan RM4,000 sebulan tanpa mengira faktor ekonomi.

Jika diamati, kerajaan DAP Pulau Pinang pun gagal menunaikan janji untuk memberi pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 sebulan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

Demikian juga dengan janji pembangkang untuk memastikan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki konsesi lebuh raya untuk memberi tol percuma. Berdasarkan perkiraan ekonomi, ia kelak akan memakan belanja antara RM50 hingga RM100 bilion.

Jika dilaksanakan, ia akan meningkatkan defisit negara lebih daripada 6.4 peratus dari KDNK. Dengan pendapatan kerajaan RM158.6 bilion pada 2009, melaksanakan janji ini akan menelan kos hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Di sebalik janji-janji ini, bagaimana pula dengan janji Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menghapuskan Tol Sungai Nyior dan Tol Jambatan Pulau Pinang dalam manifesto PRU-12. Setelah mendapat kuasa, janji itu tidak ditunaikan.

Demikian juga dengan janji pembangkang mahu memberi imbuhan kepada guru sebanyak RM500 seorang setiap bulan, apakah ia boleh terlaksana? Kelmarin, Anwar bercakap tentang pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 dalam 'bajet' tersebut.

Dianggarkan ketika ini terdapat kira-kira 400,000 guru. Jika imbuhan RM500 itu menjadi realiti, maka kos yang diperlukan adalah RM2.4 bilion (sebanyak 0.3 peratus daripada KDNK).

Ketika ini, guru PPSMI kategori ijazah memperoleh elaun lima peratus daripada jumlah gaji dan guru bukan ijazah 10 peratus daripada jumlah gaji masing-masing.

Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), sebanyak 60 peratus tumpuan adalah bagi menaik taraf guru kelulusan diploma kepada ijazah yang akan melonjakkan tangga gaji perguruan.

Dalam aspek ini juga seramai 924 guru besar telah menerima ganjaran RM7,500 seorang baru-baru ini kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Anugerah Tawaran Baru (Bai'ah). Sejumlah lima peratus guru paling cemerlang pula menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.

Pada masa sama, semasa sambutan Hari Guru, kerajaan komited memberi pengiktirafan kepada Guru Cemerlang dengan kenaikan tangga gaji. Malah, sejumlah RM700,000 telah diagihkan untuk Sekolah Berprestasi Tinggi (20 buah sekolah) di bawah NKRA Pendidikan.

'Bajet bayangan' pembangkang kelmarin, juga 'Buku Jingga' mereka hanyalah janji-janji populis untuk meraih undi rakyat semata-mata.

Sumber : utusanonline.

No comments:

Post a Comment