Saturday, October 20, 2012

UMNO tubuh jawatankuasa khas pantau perbuatan sabotaj

pix_gal0




Kuala Lumpur: UMNO menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap ahli yang mengkhianati dan mensabotaj parti dan calon Barisan Nasional (BN).
 
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) itu, berkata jawatankuasa khas itu perlu supaya siasatan dan tindakan segera diambil terhadap pengkhianat parti.

Sebelum ini memang ada ahli dikenakan tindakan tetapi siasatan dan tindakan diambil selepas berbulan-bulan lamanya. Oleh itu, kita nak pastikan tindakan tegas dan segera diambil," - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak
Perinci definisi sabotaj Jawatankuasa yang akan diketuai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail itu akan memperincikan definisi sabotaj dan khianat supaya semua pihak jelas mengenai kesalahan yang boleh disabitkan seperti menyokong parti lawan, menghasut untuk menentang parti dan salahguna wang.

Najib berkata, MT juga setuju melantik beberapa ahlinya yang tidak berkepentingan, ahli Lembaga Disiplin dan orang tertentu untuk menganggotai jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa khas ini mencerminkan hasrat dan pendirian kita untuk memastikan tindakan dikenakan terhadap sesiapa yang mengambil tindakan atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato' Onn, di sini, semalam.

Penubuhan Jawatankuasa Khas itu selaras Fasal 10.15 yang dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan UMNO.
 
Ambil tindakan

Menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu juga berkuasa mengenakan tindakan seperti menggantung, memecat dan semua hukuman dalam fasal berkenaan.

Najib berkata, jawatankuasa itu juga akan menentukan tempoh siasatan dan tindakan yang akan dikenakan terhadap ahli yang disiasat.

“Sebelum ini memang ada ahli dikenakan tindakan tetapi siasatan dan tindakan diambil selepas berbulan-bulan lamanya.

“Oleh itu, kita nak pastikan tindakan tegas dan segera diambil,” katanya.

Pecat automatik

Menjawab soalan ahli yang bertanding sebagai calon Bebas, Najib berkata: “Automatik akan dipecat, malah tidak boleh ambil balik sebagai ahli.”

Perdana Menteri berkata, seorang ahli pada peringkat bahagian UMNO akan turut dilantik untuk memberi laporan kepada jawatankuasa pemantau dan jawatankuasa khas itu.

Serah laporan terus

“Ahli pada peringkat bahagian itu juga perlu menyerahkan laporan terus kepada ibu pejabat dan secara online.

“Kadang-kadang bahagian (UMNO) baik tetapi ada seorang dua buat perangai dan tindakan tidak elok selain melanggar disiplin parti,” katanya.

Mengenai PRU, beliau berkata, jentera berjalan lancar seperti diarahkan supaya persiapan lebih mantap. 
 
Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment