Friday, September 23, 2011

Nik Aziz Kata Kelantan Kondusif Hudud, Kenapa 17 Tahun Tertangguh?

Oleh Ali Salleh
Sama ada sebab politik atau memang tidak mahu laksana, hudud dan qisas Kelantan sudah 17 tahun tertangguh. Undang-undang sudah ada namun apa yang kerajaan Pas tunggukan lagi.

Tetapi Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam kenyataannya kepada media berkata, hukum hudud masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini, termasuk Kelantan, kerana Malaysia tidak mencapai tahap suasana kondusif sebelum melaksanakan syariat Islam itu.

Katanya jika dilaksanakan juga, ia akan menimbulkan ketidakadilan kepada semua pihak dalam masyarakat majmuk di negara ini. Ini kerana kefahaman terhadap hudud sama ada orang Islam dan bukan Islam masih cetek serta kemiskinan, masalah sosial dan jenayah masih berleluasa.

Bagaimana hudud hendak dilaksanakan sedangkan Kelantan hadapi masalah sosial semakin buruk biarpun di bawah naungan Pas membangun bersama Islam.

Ini terbukti apabila Kelantan duduk ditangga teratas jumlah orang yang menghidap HIV/AIDS berbanding negeri-negeri lain. Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, nisbah orang yang dijangkiti HIV/AIDS ialah 28.8 dari setiap 100,000 rakyat negeri ini.

Kadar nasional hanya 12.9 daripada 100,000.

Kelantan juga mencatatkan peningkatan mendadak bilangan kes rogol membabitkan remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun dalam musim perayaan ini dan Lebih malang dalam kebanyakan kes, mangsa dirogol secara bergilir-gilir.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas 1 Syawal lalu jenayah itu bertambah mendadak. Beliau yang bimbang jenayah rogol secara bergilir-gilir menjadi trend terkini remaja di negeri itu bagaimanapun tidak menyatakan bilangan kes dalam tempoh itu.

“Walaupun kes dicatatkan masih rendah iaitu 197 sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding 206 kes dalam tempoh sama tahun lalu, tetapi ia meningkat dalam tempoh dua minggu lalu,” katanya.

Malangnya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak kenyataan Bekas Mufti Perak itu bahawa Malaysia terutamanya Kelantan belum kondusif untuk melaksanakan undang-undang Hudud dan Qisas.

Beliau, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata pelbagai usaha dilakukan Pas terutama di negeri Kelantan untuk menjayakan suasana kondusif bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu sejak undang-undang hudud diluluskan pada 1993.

Katanya, kerajaan Pas telah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk meningkatkan ekonomi rakyat sebelum melaksanakan hudud agar tidak timbul faktor kemiskinan menjadikan rakyat mencuri.

“Kita Al-it’am(iaitu pemberian beras secara bulanan kepada rakyat miskin), Al-Ziwaj (bantuan perkahwinan) dan projek ladang rakyat. Kita juga telah melantik orang yang mahir dalam ilmu fekah dan bukan ahli politik, untuk menjadi tok kadi dan tok hakim bagi melaksanakan undang-undang itu,” katanya.

Soalnya jika benar Kelantan sudah sedia laksana hudud, kenapa Pas tidak laksanakan hudud sekarang.
Adakah terlalu takut kepada parti anti Islam kepada DAP, sekutu pembangkang. Kesimpulannya apakah Pas kini takut kepada tuhan atau takut tidak dapat memerintah negara.

Jangan jadikan alasan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada ketika itu menghalang pelaksanaan hudud di Kelantan, kerana ia sudah lama bersara. Kelantan sudah tiada halangannya.

No comments:

Post a Comment