Friday, January 25, 2013

Peniaga ucap terima kasih

KEADAAN bangunan sementara pusat penjaja yang lebih luas dan selesa di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin. 
 
SEREMBAN  - Penjaja dan peniaga kecil Melayu yang menjalankan perniagaan terutamanya kedai makan di Ampangan, dekat sini berpuas hati dengan bangunan sementara yang dibina kerajaan bagi meneruskan operasi harian mereka.

Menurut mereka, bangunan itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti air dan elektrik, selain selesa untuk dikunjungi pelanggan.

Seorang peniaga, Azizah Aziz, 65, berkata, dia merupakan orang pertama yang berpindah ke bangunan sementara itu, selepas kerajaan negeri merobohkan bangunan lama untuk mendirikan sebuah kompleks perniagaan di situ.

"Kita amat menyokong pembangunan ini, apatah lagi memberikan keselesaan pada masa hadapan kepada pengunjung dan peniaga di pusat penjaja Ampangan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Tegasnya, biarpun ia cuma bangunan sementara jelas sekali kerajaan tidak melakukannya sambil lewa, sebaliknya telah mengambil kira pelbagai aspek.

"Pusat penjaja yang lama dahulu terlalu sempit dan sebab itulah kerajaan mahu membangunkannya. Lagipun bangunan itu sudah uzur. Terima kasih kerana prihatin dengan nasib peniaga dan penjaja di sini," ujarnya.

Azizah berkata, ketika ini bekalan air dan elektrik diberikan percuma oleh kerajaan sehingga bangunan sebenar siap kelak.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja dan Peniaga Cawangan Bandar Baru Ampangan, Zainal Abidin Harun, 54, memberitahu, pihaknya berterima kasih di atas usaha kerajaan membangunkan pusat penjaja di situ, sekali gus memberi imej baru kepada penduduk di Ampangan.

"Kita ketepikan masalah yang dihadapi penjaja. Apa yang perlu dinyatakan ialah rasa syukur dengan usaha kerajaan untuk menaik taraf pusat penjaja di Ampangan ini," katanya.

Bendahari persatuan itu, Aslinah Ali, 50, yang telah berniaga selama 22 tahun di situ melihat perubahan ini sesuatu yang dinantikan ramai peniaga di situ.

"Tempat lama dahulu terlalu banyak masalah, kedai sudah uzur, longkang sering tersumbat, tandas pula tidak berfungsi dengan baik, malah kebersihan juga sukar dijaga sehingga menyebabkan perniagaan kami merosot.

"Kami berharap dengan bangunan sementara serta pembangunan kompleks yang baru kelak, ia akan dapat menarik kehadiran pengunjung yang lebih ramai ke pusat perniagaan ini," katanya.

Bagaimanapun, Aslinah berharap kerajaan dapat membantu menyediakan lebih banyak tong sampah besar dan meletakkan papan tanda yang lebih jelas supaya orang ramai sedar kewujudan bangunan sementara itu.

Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baru Pusat Penjaja Ampangan bernilai RM8.9 juta.

Kerja-kerja pembinaan Kompleks Medan Selera Ampangan yang didirikan di atas tapak berkeluasan 2.2 hektar itu dijangka siap pada April 2014.

Bangunan yang berkonsepkan Istana Lama Seri Menanti itu bakal menempatkan 60 buah lot kedai dengan kemudahan 600 tempat duduk berbanding bangunan lama yang menempatkan 40 gerai dan kurang daripada 500 tempat duduk.


No comments:

Post a Comment

Post a Comment