Friday, November 9, 2012

Mahkamah benar Lynas beroperasi



Kuantan: Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) beroperasi semalam disambut dengan rasa syukur pekerjanya.

Lebih 500 daripada 1,300 pekerja LAMP yang berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini, sejak awal pagi semalam, sebak sebaik mengetahui mahkamah menolak permohonan injuksi interim yang difailkan tiga penduduk bagi menghalang kilang memproses nadir bumi itu beroperasi. 

Selepas terpaksa menunggu hampir dua bulan bagi mengetahui nasib mereka, keputusan mahkamah semalam melegakan pekerja yang berdepan risiko kehilangan mata pencarian, jika keputusan tidak menyebelahi mereka. 

Sebaik mengetahui berita gembira itu, mereka yang berpakaian seragam kuning melaungkan takbir dan ada yang menadah tangan berdoa tanda syukur.

Kegembiraan turut diraikan lebih 50 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong projek Lynas.

Mereka turut membawa kain rentang tertulis 'jangan kacau periuk nasi kami', 'siapa nak bagi anak kami makan', 'hentikan fitnah terhadap Lynas', 'saya memang sayang Lynas' dan 'Lynas Kuantan bakal Pusat Teknologi Hijau Negara'.

Kakitangan bahagian penyelenggaraan di LAMP, Zakaria Che Man, 34, berkata keputusan Hakim Datuk Mariana Yahya itu cukup menjelaskan bahawa operasi kilang itu tidak berbahaya dan mengikut prosedur ditetapkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB). 

Beliau berkata, tindakan membawa perkara berkenaan ke mahkamah tidak sepatutnya berlaku kerana pihak pengurusan Lynas sudah mengadakan pelbagai siri penerangan kepada penduduk sekitar daerah ini sejak 2010.

“Kumpulan penentang ini juga yang bertanggungjawab mengelirukan penduduk dan menggambarkan operasi kami akan mendedahkan penduduk terhadap bahaya radiasi.

“Tolong jangan rosakkan punca pendapatan kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah, di sini, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pula meminta orang ramai memberi peluang kepada Lynas membuktikan operasinya tidak mendatangkan mudarat kepada penduduk negeri ini.

Beliau berkata, syarikat itu juga perlu menggunakan peluang diberikan bagi memastikan jaminan diberikan terhadap kesan alam sekitar dipatuhi sebagai tanda komitmen Lynas adalah sebuah syarikat berwibawa.

No comments:

Post a Comment