Thursday, February 7, 2013

Tiada pertukaran kerusi di Parlimen Telok Kemang

Tiada sebarang pertukaran kerusi di Parlimen Telok Kemang daripada MIC kepada UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, secara tradisinya kerusi tersebut ditandingi wakil Barisan Nasional (BN) daripada MIC.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang meminta para pengundi tidak mendengar khabar angin mengenainya kerana keputusan muktamad akan dibuat pucuk pimpinan apabila tiba masanya kelak.

"Sudah menjadi tradisi calon MIC akan bertanding bagi merampas semula Parlimen tersebut yang sebelum ini dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jadi jangan dengar sebarang khabar angin sehingga keputusan dibuat.

"Pembahagian kerusi diputuskan pucuk pimpinan dan kita akan sokong siapa sahaja calon daripada BN yang bertanding," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Felda Di Hati Janji Ditepati di Dewan Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, Felda Palong Dua, dekat sini semalam.

Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, Datuk S. Sothinathan tewas kepada calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas di kerusi Parlimen Telok Kemang dengan majoriti 2,804 undi.

1 comment:

  1. Siapa calon tidak kira dari UMNO atau MIC, tanggung-jawab ahli parti ialah untuk memenangkan calon pilihan Presiden parti. Dah monang sok kok nak boghamok balik, boghamoklah.. Ini maso untuk mematuhi keputusan pimpinan parti.

    ReplyDelete