Sunday, February 17, 2013

Orang Lama Tidak Terpilih Jadi Calon Tidak Boleh Kecil Hati – Isa Samad


Wakil rakyat veteran atau yang telah lama berkhidmat tidak seharusnya berkecil hati sekiranya tidak dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata bekas 
Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Katanya mereka yang tidak terpilih wajar menerima dengan hati terbuka dan bersedia memberi peluang kepada pemimpin pelapis untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dan Umno terus relevan.
“Orang macam saya kalau tidak terpilih tidak boleh kecil hati kerana sudah bertanding berkali-kali,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program televisyen Sentuhan Ikon terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Felda berkata mereka yang tidak terpilih juga perlu terus memberi sokongan kepada calon yang dipilih iaitu turut turun berkempen di seluruh negara.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding, Mohd Isa berkata: “Kalau tidak terpilih kita turun bantu jentera parti berkempen, sebab zaman saya dulu bertanding orang lain juga turun bantu kita.”
Mengulas mengenai dakwaan kumpulan pelajar dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dihalang ketika mahu memasuki kawasan Felda di Pahang baru-baru ini, Mohd Isa berkata pihak berkenaan perlu berfikir mengapa mereka tidak diterima  masyarakat setempat.
“Kalau orang tidak bagi masuk, kenapa mahu masuk juga. Macam orang tidak beri kita masuk rumah, mengapa kita perlu masuk. Masyarakat tidak terima kerana mereka hidup aman damai kenapa perlu masuk untuk pecah belahkan dan kacau harmoni,” katanya.

No comments:

Post a Comment