Wednesday, December 19, 2012

Siew Fook tidak pertahan kerusi DUN Lobak, bertanding di kawasan lain



SEREMBAN  - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook hari ini memaklumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi tersebut sebaliknya mahu bertanding di kerusi lain pula pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, sudah sampai masanya kerusi itu diberikan kepada calon lain selepas hampir sembilan tahun beliau memegang kerusi DUN Lobak.

''Sidang DUN kali ini adalah yang terakhir dan saya rasa ia akan bersidang semula selepas pilihan raya umum akan datang. Kita telah melengkapkan mandat lima tahun dan ini tidak pernah berlaku dan merupakan satu sejarah kepada negara,'' katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Pengerusi DAP negeri, semasa bersidang sudah tentulah ada perselisihan faham dan kata-kata yang mengguris perasaan dan sehubungan itu beliau memohon maaf.

Beliau juga menyeru sekutu pembangkang, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan semua ahli agar tidak melakukan provokasi sewaktu kempen pilihan raya umum kelak dan perkara yang sama juga diminta kepada pihak kerajaan.

''Kita berharap proses demokrasi dapat diselesaikan dengan aman dan rakyat diberikan kuasa penuh untuk membuat pemilihan kelak," katanya.



No comments:

Post a Comment