Jarang sekali tokoh agama atau ulama di negara ini mengeluarkan kenyataan terbuka menyentuh isu bersangkutan hal ehwal pentadbiran atau perjalanan sistem politik tanah air.
Pada kebiasaannya, teguran atau peringatan dikeluarkan tokoh agama dan ulama hanya berkisar kepada isu perpaduan, keamanan dan kesejahteraan rakyat serta kepentingan ummah.
Dalam kes tertentu, ada mufti dan tokoh agama menegur pemimpin negara supaya tidak tergelincir daripada batas atau syariat Islam ketika melaksanakan tugas bagi mengelak imej Islam tercemar dan memelihara akidah.
Namun, peringatan yang dibuat Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, kelmarin bahawa umat Islam di negara ini wajib keluar mengundi bagi membolehkan sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama Islam dan keamanan dibentuk adalah satu perkara yang agak luar biasa sifatnya.
Teguran itu menyimpan maksud tersurat yang jelas dan makna tersirat yang mendalam tetapi mudah difahami masyarakat Islam.
Peringatan Abdul Rahman itu seharusnya menyedarkan masyarakat Islam bahawa mereka sedang memikul tanggungjawab dan amanah yang berat lagi besar kerana undi mereka akan menjadi penentu utama bagaimana bentuknya kerajaan apabila proses pilihan raya berakhir.
Ia menjadi isyarat jelas kepada umat Islam jika mereka tidak keluar mengundi, besar kemungkinan kerajaan yang dapat membela dan menjaga kesucian agama Islam tidak dapat dibentuk atau diwujudkan.
Jika perkara itu terjadi, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan mungkin akan terjejas, sekali gus akan menjatuhkan martabat Islam, manakala nasib umatnya yang menjadi kaum majoriti di negara ini pasti tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan baru yang memerintah.
Peringatan Mufti Pahang itu juga mendedahkan kepada kita mengenai sikap negatif segelintir masyarakat Islam di negara ini yang mengambil ringan atau tidak mengambil endah tanggungjawab serta kewajipan mereka untuk mengundi.
Sepatutnya, sebagai rakyat yang matang, kita tidak perlu lagi diberi peringatan atau dipesan berulang kali seperti kanak-kanak supaya keluar mengundi pada setiap kali pilihan raya diadakan. Pengundi beragama Islam tidak sepatutnya meninggalkan tanggungjawab mengundi dengan memberi alasan yang tidak masuk akal seperti menganggapnya membuang masa, menyusahkan, tidak penting, tidak mengapa atau bersikap enggan mengambil tahu hal ehwal politik tanah air.
Umat Islam seharusnya mempunyai kesedaran tinggi bahawa mereka bertanggungjawab menjaga kesucian Islam di negara ini dan antara caranya ialah dengan mengundi parti yang sudah terbukti berjaya membela, mengangkat dan memartabat Islam pada tempat yang sepatutnya seperti dinikmati hari ini.
Sumber: AD
No comments:
Post a Comment