Sunday, April 14, 2013

Lima papan tanda BN ditumbangkan



Kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 belum bermula namun sudah ada pihak yang cuba 'bermain kotor' apabila merosakkan bahan kempen yang mungkin tidak menyenangkan mereka.

Jika sebelum ini terdapat bendera-bendera yang dicabut dan poster dirosakkan, terbaru, lima buah papan tanda yang mengandungi gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Lui Selatan dekat sini, tumbang dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Setiausaha jentera pilihan raya Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Mohd. Sani Yunus berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut kira-kira pukul 9 pagi semalam apabila dihubungi oleh penduduk.

''Apabila saya datang memeriksa kawasan tersebut, memang betul lima papan tanda yang mengandungi gambar Perdana Menteri tumbang dipercayai dicabut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

''Saya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan tersebut dan tidak berniat untuk menuduh mana-mana pihak," jelasnya di sini, semalam.

Katanya, semua pihak sama ada Barisan Nasional (BN) mahu pun pembangkang diharap dapat memberikan kerjasama dan berkempen dengan cara yang bersih kerana menjadi hak individu untuk menyokong mana-mana parti.

''Ekoran kejadian itu saya telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Lui lebih kurang pukul 4.30 petang semalam dan berharap dalang di sebalik masalah ini dapat dikenal pasti," jelasnya.



No comments:

Post a Comment