Friday, March 8, 2013

Etnik Suluk Sabah gembira jaminan Najib



TAWAU — Masyarakat etnik Suluk Sabah gembira dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan Persekutuan tidak sangsi terhadap kesetiaan etnik itu berikutan insiden pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata Sulu di Lahad Datu sejak 12 Februari lalu.
Jurucakap masyarakat etnik itu, Datu Raman Datu Ismail berkata, masyarakat etnik Suluk di Sabah amat selesa dengan jaminan berkenaan dan ia sememangnya ditunggu-tunggu etnik Suluk selama ini.
"Alhamdulillah, pada pandangan kami etnik Suluk di Sabah, maklum balas Perdana Menteri amat baik sekali sehingga beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan tidak ada kesangsian kepada bangsa Suluk di Sabah tentang ketaatsetiaan bangsa ini di dalam mendaulatkan negara Malaysia ini.
"Selain daripada itu, kami juga dari etnik Suluk Sabah mengharapkan suku-suku yang ada di Sabah ini tidak memandang serong terhadap suku ini sebab tidak semua suku ini suka mengadakan keganasan seperti yang berlaku hari ini,” katanya.
Datu Raman berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bagi menyatakan taat setia etnik Suluk di Sabah mempertahankan kedaulatan Malaysia kepada Perdana Menteri di Lapangan Terbang Tawau sebelum Perdana Menteri berlepas ke Felda Sahabat, Lahad Datu, di sini hari ini.
Seramai 60 pemimpin kerajaan dan pemimpin pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Suluk yang mewakili kira-kira 30,000 ahli mereka di seluruh Sabah hadir dalam majlis penyerahan memorandum berkenaan.
Datu Raman berkata, etnik Suluk di Sabah juga tidak bersetuju dengan perbuatan pencerobohan dan menolak perbuatan ganas berkenaan namun cuma segelintir etnik itu yang berfikiran sedemikian yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Beliau mengakui etnik Suluk Sabah merasa kecil hati apabila perkataan Sulu itu diulang-ulang dan disebut-sebut termasuk melalui media massa kerana ia menggambarkan seolah-olah semua etnik berkenaan adalah ganas.
"Syukurlah, bermula daripada kelmarin, Ops Sulu telah ditukar kepada Ops Daulat kerana Ops Sulu itu menggambarkan seolah-olah etnik Suluk Sabah akan dihabiskan sama sekali. Alhamdulillah ia telah ditukar kepada Ops Daulat dan itulah kebanggaan kami sebagai etnik Suluk Sabah,” katanya. — BERNAMA


No comments:

Post a Comment