SEREMBAN, 23 Nov – “Bagaimana pakatan pembangkang mahu merampas Negeri Sembilan sekiranya mereka sesama sendiri tidak bersependapat. Ketika isu Tony Pua disebut di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, Loke Siew Fok (Ketua Pembangkang Negeri Sembilan) memberikan alasan bahawa komen Tony Pua yang mengatakan akan mengurangkan separuh daripada kakitangan awam adalah komen peribadi dan tidak ada kena mengena dengan DAP.
“Adakah mereka akan terima sekiranya UMNO membuat alasan yang sama apabila Datuk Ahmad Maslan selaku Ketua Penerangan UMNO mengeluarkan kenyataan. Sudah tentu mereka akan menghentam kita habis-habisan kalau UMNO yang memberikan alasan sedemikian,” ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dalam wawancara khas bersama UMNO-Online di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Katanya, Tony Pua bukanlah ahli biasa di dalam parti DAP dan DAP perlu bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang dikeluarkan oleh Tony Pua selaku Setiausaha Penerangan parti tersebut.
Mereka bukan sahaja berhasrat mengurangkan separuh kakitangan awam malah sebelum ini kecoh apabila M. Manoharan, ADUN DAP Kota Alam Shah membuat kenyataan mahu menukar bendera Malaysia.
“Bendera adalah merupakan panji-panji kita. Jika di zaman perang dahulu, akan ada seorang yang memegang panji. Sekiranya pemegang panji ini dibunuh, akan ada orang lain yang memegang panji tersebut asalkan panji itu tidak rebah ke tanah.
“Dalam bahasa lain sebenarnya mereka berhasrat untuk menukar perlembagaan sekiranya mereka memerintah kerana mereka berhasrat untuk mengamalkan Malaysia Malaysian. Jadi, jangan berdolak dalik. Hasrat hati mereka sebenarnya busuk.
“Jadi, kepada kakitangan awam yang menyokong pembangkang, fikirlah semula. Inilah hasrat DAP,” ujarnya.
Mohamad turut menjelaskan, sokongan rakyat Negeri Sembilan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak semakin meningkat dan dapat dilihat dengan jelas menerusi ‘body language’ yang diberikan.
“Saya harap menjelang PRU akan datang, sokongan ini akan berterusan dan direalisasikan dalam bentuk undi. Harapan saya juga, jangan timbul isu yang boleh ‘membunuh’ peningkatan kita dalam memenangi hati rakyat. Saya menasihatkan para pemimpin yang tidak ada sebarang isu, tidak perlu mengeluarkan sebarang komen sehingga boleh mengelirukan pengundi di akar umbi. Perbanyakkan kerja dalam memantapkan jentera parti,” ujarnya lagi. –MediaUMNO
No comments:
Post a Comment