Tuesday, October 30, 2012

PANAS: Rahsia Bagaimana Suara Keadilan Beroperasi Terbongkar


SECARA tiba-tiba nama Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) menjadi perhatian kebelakangan ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari pembongkaran demi pembongkaran didedahkan oleh Presiden KWMM, DZULKARNAIN TAIB terutama yang melibatkan isu kapal selam Scorpene.

Katanya, tindakan yang dilakukan oleh Suaram disifatkan sebagai mengancam keamanan negara dan sekali gus membenarkan pihak asing mencampuri urusan Malaysia.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar IZHAM JAAFAR, bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan ini berkata, tindakan Suaram terus-terusan memfitnah kerajaan dalam isu itu adalah jelas bermotifkan politik.

Pengalaman berkhidmat dengan Suara Keadilan menyedarkannya betapa etika kewartawanan tidak diberi perhatian oleh organ parti pembangkang itu sebaliknya hanya menjadi saluran propaganda dan fitnah yang efektif.

“Yang jelas peranan mereka lebih kepada menyebar propaganda dan fitnah terhadap kerajaan walaupun hakikatnya ia langsung tidak benar dan hanya mahu memburukkan imej kerajaan di mata rakyat," kata Dzulkarnain.

Dzulkarnain dan Suara Keadilan

MINGGUAN: Bagaimana sebenarnya pembangkang menggerakkan medium media mereka?

DZULKARNAIN:
 Sebenarnya sebelum Pilihan Raya Umum 2008, pihak pembangkang telah aktif berkempen melalui medium Internet terutamanya melalui blog dan sebagainya. Mereka seolah-olah mendapat suatu tenaga baru melalui penggunaan media sosial baru ini. Saya boleh katakan nisbah antara blogger pembangkang dan BN adalah antara 15 ke 20 blogger propembangkang berbanding hanya satu di pihak blogger pro-UMNO atau BN. Itu menjadi faktor bagaimana pihak pembangkang begitu menguasai dunia maya. Terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan terutama yang menghentam kerajaan. Sama ada isu ditimbulkan itu benar atau tidak, ia bukan menjadi ukuran dan keutamaan pembangkang.

Apa yang menjadi keutamaan dalam pemberitaan mereka?

DZULKARNAIN: 
Keutamaan mereka adalah mendedahkan sebanyak mungkin isu yang boleh dipolitikkan untuk menghentam kerajaan. Melalui cara ini mereka akan cuba mewujudkan satu persepsi negatif kepada rakyat yang selama ini menyokong kuat BN. Mereka telah melancarkan propaganda dan fitnah melalui laman-laman sosial dan media baru. Saya mahu menjelaskan di sini bahawa taktik ini masih diteruskan sehingga kini malah dengan lebih kerap. Sebenarnya kebenaran bukanlah matlamat mereka kerana ia lebih sebagai propaganda. Taktik ini jika kita lihat lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan oleh Menteri Propaganda Nazi, Joseph Groebbels, iaitu apabila berkali-kali kita menyatakan sesuatu itu sebagai benar walaupun hakikatnya ia satu penipuan, kerana minda dari sudut psikologi, apabila diulang banyak kali akhirnya orang akan mempercayainya. Jadi itulah strategi lama namun masih berkesan yang diamalkan oleh pihak pembangkang sehingga kini.

Jika begitu, apakah strategi yang digunakan dalam memanipulasi berita dan fakta?

DZULKARNAIN: 
Saya lihat pembohongan, fitnah dan character assasination adalah sebahagian daripada strategi utama mereka. Kita boleh lihat sekarang ini dalam isu Scorpene. Ia telah dijadikan satu isu yang besar dan membawanya ke peringkat antarabangsa dan Mahkamah Perancis. Tidak cukup bagi mereka melempar fitnah melalui ceramah dan medium media baru. Apa sebenarnya agenda mereka kerana semua pertanyaan yang diluahkan mereka sudah terjawab? Malah Ketua Audit Negara telah pun menjawab bahawa segala urusan melibatkan Scorpene adalah mengikut prosedur dan perundangan. Namun pihak pembangkang masih berterusan memfitnah kerajaan walaupun jelas Mahkamah Perancis sudah menetapkan pendiriannya. Malah saya ada terbaca baru-baru ini pihak pembangkang cuba menganjurkan satu jelajah ke seluruh negara untuk mendedahkan isu Scorpene walaupun tidak ada isu sebenarnya dalam hal ini.

Kenapa pihak ini begitu bersungguh-sungguh mahu menjadi plaintif dalam perbicaraan ini?

DZULKARNAIN:
 Sebab itu KWMM membuat sidang akhbar membongkar status Suaram sebagai plaintif. Sejak Mac lalu, pihak mahkamah Perancis telah menolak permohonan Suaram untuk menjadi plaintif. Untuk menjadi plaintif mereka perlu mempunyai kepentingan dalam urusan pembelian Scorpene. Oleh itu jelas ini adalah usaha Suaram untuk menipu Mahkamah Perancis dan apabila pihak mahkamah menyedarinya maka mereka menolak usaha ini. Sekarang ini mereka tidak ada kena-mengena malah tidak boleh bersuara dalam isu Scorpene.

Mereka cuba pula untuk menjadi plaintif bersama namun mereka mahu bersekutu dengan siapa? Kenapa Suaram begitu bersungguh-sungguh mahu menjadi plaintif? Ini adalah sebab undang-undang Perancis berbeza yang mana apabila mereka diterima menjadi plaintif, mereka akan diberi kebenaran ke atas kesemua dokumen yang terlibat dalam urusan pembelian Scorpene. Maka apabila mereka boleh mendapat kesemua maklumat itu maka mereka akan berterusan memfitnah dan memutarbelitkan isu dan fakta mengenai perkara ini kepada umum. Ini yang mereka mahukan sebenarnya dan kami mendedahkan bahawa mereka bukan lagi plaintif dalam perbicaraan malah mereka hanyalah satu pertubuhan haram yang tidak berdaftar.

Boleh ceritakan latar belakang saudara semasa berada di akhbar Suara Keadilan?

DZULKARNAIN: Apabila saya ditawarkan menjadi Pengarang Bersekutu akhbar itu pada 2008 dan kartunis Zunar ialah Ketua Pengarangnya, satu perkara yang saya sangat terkejut adalah, saya diberitahu jika mahu bekerja di akhbar ini paling penting adalah wajib percaya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam perlakuan liwat. Saya terdiam dan agak terkejut. Sebagai orang media, saya ada perkiraan sendiri iaitu masuk ke akhbar ini kerana ingin tahu bagaimana media pembangkang beroperasi dan apakah prinsip kewartawanan yang mereka pegang. Kemudiannya Suara Keadilan telah diambil alih oleh pengurusan baru dan saya dilantik sebagai Ketua Pengarang. Saya cuba membawa prinsip-prinsip arus perdana dalam akhbar itu supaya ia boleh menjadi satu wadah profesional dalam membuat laporan berita. Jika pemberitaan kami lebih bertanggungjawab walaupun bersuara pembangkang, mungkin kami akan lebih dihormati.

Saya memegang jawatan itu selama setahun namun sepanjang saya memegang jawatan itu, akhbar itu masih sah dari sudut perundangan kerana permitnya sah. Yang pasti walaupun saya cuba membawa pembaharuan namun mereka sebenarnya tidak memberi tumpuan kerana yang penting bagi mereka, ia perlu menjadi satu saluran propaganda dan fitnah yang efektif untuk mereka. Akibatnya akhbar itu banyak disaman. Jawapan kenapa saya berhenti dan kemudian bertindak keluar PKR adalah kerana saman RM200 juta terhadap saya dan beberapa yang lain berhubung isu Felda bankrap. Apabila saya melihat kembali peristiwa itu saya berpandangan adalah tidak adil untuk memfitnah Felda yang telah begitu berjasa kepada orang Melayu dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.

Bagaimana boleh timbul masalah sehingga disaman?

DZULKARNAIN: Apabila kita mahu mengatakan sesuatu perkara, kita juga perlu melihat kemungkinan apakah kita juga ada kemungkinan bertindak salah dalam hal itu. Saya berpandangan ketika itu adalah tidak betul untuk meletakkan tajuk utama sebagai 'Felda bankrap' dan ia sebenarnya perlu diletakkan tanda tanya di pengakhiran tajuk itu. Jadi mungkin ia sekadar kami menimbulkan persoalan namun pihak atasan langsung tidak bersetuju dan tetap dengan tajuk berkenaan. Saya sudah melihat kami akan disaman dan ia benar-benar berlaku. Kita sedia maklum bahawa mereka mahu mempopularkan akhbar mereka namun bukanlah senantiasa semua berita yang dikeluarkan perlu disensasikan. Kita faham jika terdapat sesuatu berita yang mahu disensasikan namun bukan semua apatah lagi berita dan artikel yang dikeluarkan itu lebih kepada fitnah dan pembohongan.

Bagaimana hubungan Suara Keadilan dengan akhbar-akhbar parti lain seperti Harakah dan Roket?

DZULKARNAIN: Sepanjang saya berada di Suara Keadilan, saya tidak nampak sebarang kerjasama antara kesemua akhbar ini. Masing-masing hanya buat hal masing-masing yang bertumpu kepada aliran pemikiran mereka sendiri. Oleh itu saya berani menyatakan bahawa pakatan pembangkang ini tidak sekuat mana kerana sesama media mereka pun tidak wujud persefahaman yang jelas. Bagaimana mereka mahu menguruskan peranan media jika tiada persefahaman sesama mereka. Yang jelas peranan mereka lebih kepada menyebar propaganda dan fitnah terhadap kerajaan walaupun hakikatnya ia langsung tidak benar dan hanya mahu memburukkan imej kerajaan di mata rakyat.

Bagaimana saudara melihat kritikan yang dilemparkan NUJ terhadap KWMM baru-baru ini?

DZULKARNAIN: Memang mereka menyatakan bahawa kami ini dilihat seolah-olah menyebelahi kerajaan. Namun bagi saya, apa salahnya. Apakah timbul masalah jika kami menyokong kerajaan? Ada juga pihak NGO media yang tidak menyokong kerajaan namun kami tidak merungut atau membuat sebarang aduan mengenai mereka. Ini kerana kita perlu faham bahawa kita adalah pengamal media maka kita perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima semua hujah dan fakta yang dikemukakan. Jika pihak NUJ mengatakan kami berat sebelah maka saya cabar mereka supaya mengeluarkan hujah dan komentar mengenai isu Scorpene. Ini mungkin boleh mengimbangi pandangan saya mengenai isu ini dan saya mahu mereka berani ke depan. Mungkin mereka melihat kami lebih kepada prokerajaan namun sebenarnya kami lebih kepada pro-Malaysia. Kami tidak menyokong secara membabi buta namun yang penting adalah keselamatan negara, bebas daripada campur tangan asing dan pada masa, perpaduan dan keharmonian rakyat perlu menjadi keutamaan.

Sumber : http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20121021/re_06/Saluran-propaganda-untuk-pembangkang#ixzz29zaawDe6

 
*Sebar-sebarkan.
 


No comments:

Post a Comment