Friday, October 19, 2012

[KHUTBAH] Buang budaya lelaki cuma cari nafkah semata-mata

Abil Fikri tetap berdoa agar isterinya pulih.  
Abil Fikri tetap berdoa agar isterinya pulih.


IBARAT satu dalam seribu. Begitulah tanggapan masyarakat apabila menggambarkan kewujudan suami mithali yang sanggup berkorban menjaga isteri sakit dan anak tanpa alasan.
 
Kisah pengorbanan bekas perunding kewangan swasta, Abil Fikir, 43, menjaga isterinya yang terlantar sakit akibat kerosakan otak. Meskipun tugas menjaga isterinya agak sukar, beliau tetap meneruskannya kerana menganggap penyakit dialami isterinya bukan satu bebanan, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan sebagai suami.

Apabila timbulnya isah suami membantu isteri menguruskan hal rumah tangga kerana isteri sedang sakit, ia menjadi sesuatu yang luar biasa," - Dr Rubiah K Hamzah, Pakar Motivasi Kekeluargaan
Tabah dengan dugaan dan cabaran, Abil tidak terlintas mahu menjaja cerita mengenai pengorbanannya. Namun, ramai memujinya, memberi maklum balas positif dan menganggap beliau suami mithali.

Mana tidaknya, persepsi ini wujud kerana dalam budaya masyarakat kita, tumpuan suami lebih kepada kerjaya dan apabila pulang ke rumah, kebanyakannya membiarkan beban rumah tangga diuruskan isteri.

Alasan mereka ialah letih dan tidak mampu buat kerja selepas berhempas-pulas di pejabat, walhal wanita juga memikul tanggungjawab sama dalam membantu mencari nafkah keluarga.

Pandangan negatif itu terus merebak dalam pemikiran masyarakat yang sering disajikan dengan kisah suami curang, tidak bertanggungjawab dan penderaan seksual.
 
Ubah budaya

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) misalnya, menunjukkan seramai 137,570 atau 21 peratus daripada 651,851 pasangan Melayu Islam berkahwin bagi tempoh 2005 hingga 2010 bercerai selepas lima tahun berkahwin.

Malah, statistik JAKIM pada 2009, menyatakan kadar perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit.

Apabila berlaku perceraian, masyarakat mula memandang serong kepada golongan Adam kerana mereka mempunyai kuasa menjatuhkan talak.

Hakikatnya, lelaki adalah insan hebat dipilih Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini yang mana mereka menjadi tonggak keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat.

Justeru, tidak salah jika suami turun padang membantu isteri. Jika setiap hari isteri bertungkus- lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah, suami yang tidak mahir memasak makanan berat seperti lauk-pauk, cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri sedang menikmati makanan dimasak itu, tentu berasa gembira.

Dilihat luar biasa

Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Membantu isteri melakukan kerja rumah bukan saja dapat meringankan beban, tetapi turut mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan. Persoalannya, sejauh manakah kebenaran suami mithali semakin pupus.

Bagi Pakar Motivasi Kekeluargaan, Dr Robiah K Hamzah, kewujudan suami mithali dalam institusi kekeluargaan tidak boleh dinafikan, sebaliknya disokong supaya menjadi budaya dalam masyarakat.

Katanya, budaya dalam rumah tangga dan perbezaan pemikiran suami isteri menyebabkan masyarakat menganggap kewujudan suami mithali yang memikul tanggungjawab isteri sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Budaya masyarakat kita, suami bertanggungjawab mencari nafkah, manakala isteri bertanggungjawab menguruskan rumah tangga walaupun hakikatnya wanita masa kini turut memikul tugas mencari nafkah bersama suami.

“Jadi, apabila timbulnya kisah suami membantu isteri menguruskan hal rumah tangga kerana isteri sedang sakit, ia menjadi sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Tambahnya lagi, budaya itu harus diubah memandangkan kebanyakan isteri turut memikul tanggungjawab suami dengan bekerja di luar.

Robiah berkata, sebagai ketua keluarga, tidak salah sekiranya suami membantu isteri menguruskan rumah tangga, apatah pula apabila isteri sedang sakit dan memerlukan tempat bergantung.

“Namun, menjadi isu besar ialah cara pemikiran berbeza yang mana bagi wanita, jika dia menyayangi suami, hati dan mindanya akan tertutup pada lelaki lain.

“Berlainan lelaki, walaupun mereka sayang kepada isteri, tetapi fikiran mereka tetap boleh dibuka kepada perempuan lain. Inilah perlu dikawal kerana jika tidak, ia akan membawa masalah kepada rumah tangga,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan supaya suami isteri mendalami dan memahami peranan masing-masing dalam usaha menjadi pasangan mithali.

Suami ditinggal isteri

Pakar Perunding, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata masyarakat sering meletakkan kesalahan di bahu suami apabila berlaku perceraian kerana masih terperangkap dengan kisah fantasi dalam novel dan media massa.

Katanya, berdasarkan pengalamannya menguruskan kaunseling perkahwinan dan keluarga, masih ramai suami mithali yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, namun masih ditinggalkan si isteri.

“Cuma sebahagian daripada mereka lebih senang menyimpan keaiban isteri kerana bimbang dengan pandangan masyarakat, lalu memilih untuk berpisah cara baik.

“Wanita lebih beremosi dalam hal seperti ini lalu kisah mereka lebih gemar dipaparkan dalam akhbar dan televisyen berbanding lelaki,” katanya.

Ditanya mengenai sebilangan lelaki meninggalkan pasangan selepas isteri menghidap sakit kronik, Dr Haslee berkata, ia adalah normal.

“Ia bukan saja berlaku kepada wanita, malah ada juga kes suaminya menghidap sakit kronik lalu ditinggalkan isteri kerana tidak sanggup menanggung beban.

“Semuanya bergantung kepada individu sama ada hendak kekal menjadi suami isteri mithali kerana kebahagiaan keluarga terletak kepada kedua-duanyanya,” katanya.

Tip suami mithali
  • Keperluan psikologi
    Meningkatkan keyakinan pasangan dengan memberi rasa dimiliki dan kemesraan kepada mereka.
  • Keperluan kuasa
    Menjaga harga diri pasangan dengan mengambil kira pandangan isteri dalam apa juga tindakan.
  • Kebebasan
    Memberi ruang kepada pasangan membuat keputusan bersama dalam rumah tangga.
  • Keseronokan
    Memberi kebahagiaan kepada pasangan dengan mengamalkan kemesraan dalam rumah tangga.

    Tip rumah tangga bahagia

  • Berbicara lemah lembut, memanggil dan memandang dengan kasih sayang antara suami dengan isteri.
  • Membersihkan diri, penampilan rapi dan bersih. berhias dan memakai wangi-wangian.
  • Jujur dan amanah, jangan memandang rendah pasangan, saling mengalah dan memaafkan dan paling penting perhatikan kelebihan pasangan, malah sekiranya ada kekurangan, segera tutup daripada pengetahuan orang.
  • Jangan mencela masakan isteri, berusaha meringankan beban kerja pasangan.
  • Tidak membandingkannya dengan orang lain
  • Jauhi hal menimbulkan rasa cemburu.
  • Selalu berpegangan tangan, bergurau senda, saling membelai kerana dengan cara ini pasangan akan merasai dirinya sentiasa diperlukan.
  • Jadikan kamar tidur tempat peribadi, bersih, harum dan masa menyenangkan pasangan.
  • Saling menasihati dan cuba meringankan beban ditanggung pasangan.
  • Peruntukkan waktu khusus bersama pasangan seperti makan bersama, solat berjemaah pada waktu tertentu seperti Maghrib dan Isyak, bersiar-siar dengan anak di taman.
  • Saling mendoakan dan merindui apabila berjauhan. 

  • Sumber : Berita Harian

    No comments:

    Post a Comment