Tuesday, October 30, 2012

Hutan simpan milik Kerajaan Negeri


SEREMBAN – Tanah hutan simpan di negeri ini masih lagi milik Kerajaan Negeri dan tidak pernah diserahkan hak milik kepada individu mahupun syarikat lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Kerajaan Negeri memberi hak milik tanah hutan kepada orang lain adalah tidak berasas.
Menurutnya, sejak pentadbirannya,  semua tanah hutan simpan yang dikeluarkan adalah di bawah seliaan Yayasan Negeri Sembilan dan tidak pernah diberikan kepada mana-mana pihak luar.
“Kalau ada pun, kita hanya pajakkan tanah tersebut untuk melaksanakan tanaman kelapa sawit, jika mereka (syarikat luar) tidak mahu, tanah itu kita akan dapat kembali.
“Kita tidak rugi apa pun, malah tiada risiko dengan rancangan tersebut kerana Kerajaan Negeri tidak memindahkan hak milik, hanya pajakan sahaja mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Mohamad berkata, Kerajaan Negeri telah menggantikan lebih 2,400 hektar tanah untuk dijadikan hutan simpan.
Menurutnya, setiap tahun Kerajaan Negeri mempunyai kuota untuk mengeluarkan hasil kayu dan sehingga kini baru 3,200 hektar sahaja yang digunakan daripada 4,800 hektar.
“Tidak timbul soal tanah hutan diteroka secara haram kerana setiap aktiviti yang dilakukan adalah mengikut undang-undang,” katanya.

Sumber : n9kini.net

No comments:

Post a Comment