Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad
Maslan menyifatkan Perhimpunan Kebangkitan Rakyat yang yang mensasarkan
kehadiran sejuta rakyat yang bakal diadakan oleh Pakatan Pembangkang
pada 12hb Januari ini di Stadium Merdeka merupakan satu pembohongan
besar terhadap rakyat di negara ini.
Beliau berkata demikian kerana menurutnya, mustahil bagi Pakatan
Pembangkang untuk menghimpunkan sejuta rakyat di dalam perhimpunan
tersebut memandangkan Stadium Merdeka hanya boleh memuatkan lebih kurang
30 ribu orang sahaja.
“Mereka ini bagi saya pembohong besar. Satu Malaysia mereka canangkan
bahawa perhimpunan ini akan dihadiri oleh sejuta rakyat, sedangkan
mereka memilih stadium merdeka untuk perhimpunan tersebut yang hanya
boleh muatkan 30 ribu orang sahaja.
“Mengapa mereka tidak memilih stadium Nasional yang boleh memuatkan
lebih dari 100 ribu orang? Saya cabar mereka untuk pilih Stadium
Nasional untuk adakan perhimpunan ini. Kenapa mereka tak pilih stadium
Nasional?
“Ini disebab mereka sebenarnya tak yakin dapat mengumpul rakyat
seramai 100 ribu orang untuk memenuhi stadium nasional itu, apatah lagi
nak mengumpul sejuta rakyat,” tegas beliau selepas mempengerusikan
mesyuarat ketua-ketua penerangan Barisan Nasional di Putra World Trade
Center (PWTC) di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Maslan sekali lagi menegaskan bahawa tsunami
politik yang melanda pada PRU yang lepas sudah berakhir dengan
dasar-dasar dan transformasi kerajaan yang diperkenalkan di bawah
pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Justeru itu menurutnya, berdasarkan laporan dan maklumat yang
diperolehi, beliau menaruh keyakinan bahawa BN boleh mencapai kemenangan
2/3 majoriti di dalam PRU yang akan datang nanti.
“Ini berdasarkan sifir kami di mana kita memerlukan lebih kurang 20
kerusi sahaja untuk BN mencapai kemenangan 2/3 dalam PRU akan datang.
Kita juga sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang di mana kerusi
parlimen atau DUN di kawasan tersebut akan kembali semula ke tangan BN.
“Jadi berdasarkan perkara ini, kita yakin kemampuan BN untuk menawan
kembali kerusi-kerusi yang sudah terlepas ke tangan pembangkang dan
peluangnya cukup cerah. Sekiranya kita berjaya mengekal 140 kerusi yang
dimenangi oleh BN sebelum ini, dan ditambah lagi dengan 20 lagi kerusi
yang diyakini bakal ditawan semula, In shaa Allah BN akan berjaya
mendapatkan 2/3 majoriti dalam PRU akan datang nanti,” ujarnya. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment