Pemecatan
Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura PAS turut mengundang reaksi
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Najib menilai tindakan itu dibuat selepas Nasharuddin, yang juga
Anggota Parlimen Bachok, kembali dari menyertai lawatan kemanusiaan ke
Gaza memberi persepsi bahawa ia ada kaitan dengan lawatan itu.
"Sepatutnya dia (PAS) menghargai lawatan ini sebab lawatan ini untuk kepentingan ummah dan kepentingan umat Islam.
"Tapi nampaknya mereka melihat ini sebagai lebih menguntungkan kerajaan, Umno daripada PAS.
"Mungkin itu menyebabkan mereka mengambil tindakan terhadap Ustaz
Nasharuddin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi minum
petang sempena Forum Tindakan Belia 2013 di Kuala Lumpur, Isnin.
Najib berkata Nasharuddin adalah seorang yang percaya kepada kesatuan
dan penyatuan ummah serta berpendirian bahawa perpaduan penting untuk
mewujudkan satu ummah.
"Saya tak nak buat apa-apa spekulasi tapi dia (Nasharuddin) merupakan
seorang pemimpin yang berjuang bukan untuk menidakkan mana-mana parti
politik, dan sepanjang perjumpaan saya dengan beliau, beliau tidak
mengutuk mana-mana pihak," katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan
pengguguran Nasharudin sebagai anggota Majlis Syura PAS sebagai satu
tindakan yang aneh.
"Beliau mengambil langkah-langkah yang dilihat untuk memperkukuhkan
hubungan kita dengan Palestin, memperjuangkan nasib orang (rakyat
Palestin) yang tertindas.
"Keputusan dibuat seolah-olah menidakkan usaha-usaha baik dan
kerja-kerja amal yang dilakukan Nasharudin, sedangkan Pas kata dia
perjuangkan Islam.
"Dia perjuangkan sesuatu yang baik, saya percaya Nasharudin tidak
akan berhenti dari usahanya berbuat sesuatu untuk umat Islam. Tapi
apapun itu hak mereka (Majlis Syura PAS, kita cuma memerhati apa yang
dilakukan PAS," katanya.
No comments:
Post a Comment