SEMPORNA - Kejam dan tidak berperikemanusiaan!
Itulah perkataan yang kami luahkan ketika meninjau lokasi yang mengorbankan enam wira negara di perkampungan air, Lorong 5, Kampung Simunul di sini, semalam.
Seminggu selepas kejadian, kesan darah, otak bersepai dan bekas tembakan masih jelas kelihatan umpama baru berlaku dalam tempoh 24 jam.
Kami mula masuk ke kampung terbabit, kira-kira jam 2 petang, ditemani Ketua Kampung, Ramlee Saraman, 56, dengan perasaan yang bercampur baur.
Kami melalui titi kayu usang sejauh 200 meter menuju ke lokasi serangan hendap kumpulan penceroboh bersenjata Sulu. Tidak dapat kami bayangkan suasana getir anggota polis ketika itu apabila diserang hendap oleh militan Sulu dari belakang.
Awalnya, kami menyusuri titi yang memuatkan seorang individu dan kami dapat membayangkan bagaimana keadaan sepasukan polis bergerak secara berkumpulan ditambah dalam keadaan gelap sebelum serangan hendap, kira-kira jam 7 malam.
Ramlee berkata, ketika dia berada di dalam pejabat ketua kampung dan mendengar bunyi tembakan berterusan dalam tempoh 30 minit.
Di persimpangan titi masih kelihatan kesan titisan darah wira negara, yang membawa maksud mereka lari menyelamatkan diri dan cuba berselindung daripada tembakan militan itu.Kemudiannya kami melihat dua kesan tembakan, mungkin dilepaskan oleh penceroboh dari arah depan dan belakang.
Melalui penerangan daripada Ramlee, penceroboh menyerang dari rumah di hadapan dan belakang ketika wira negara melalui titi tersebut.
Timbul persoalan, adakah polis diperangkap? Selepas serangan itu, melalui kesan tompokan darah, ada wira negara melarikan diri masuk ke rumah penduduk.
Dari situ mereka membuat tindakan pantas membuat serangan balas terhadap penceroboh. Kami juga ditunjukkan sebuah rumah, iaitu lokasi penemuan mayat Superintendan Ibrahim Lebar. Di situ kami sedekahkan surah Al-Fatihah kepada wira negara yang terkorban.
Tambah menyedihkan ketika Ramlee membawa kami ke sebuah rumah yang menyebabkan kami tidak mampu mengungkapkan sebarang perkataan lagi.
Di situ kami temui lencana polis yang tercabut dari uniform umpama gugurnya wira negara di medan perang. Berhampiran lencana itu ada kesan darah mengalir dan cebisan otak perajurit negara.
Kami difahamkan Ramlee, di situ tempat seorang anggota polis dibunuh kejam, namun kami tidak dapat memberitahu bentuk kekejaman tersebut bagi menghormati keluarga mangsa.
Lokasi tersebut ditinggalkan dengan pertanyaan, apakah penceroboh tidak mempunyai sedikit sifat perikemanusiaan walaupun terhadap mayat yang telah berjaya ditembak mereka?
Kami seterusnya menyusuri laluan yang juga mempunyai kesan darah. Tidak dapat dipastikan adakah itu darah wira kita atau penceroboh. Ada juga kesan darah pada bekas makanan berhampiran lokasi yang membunuh seorang penceroboh.
Mayat itu ditemui terapung di air dan Ramlee memberitahu, dia dan penduduk kampung terpaksa menguruskan mayat tersebut kerana tidak tahan bau busuk selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Selain Ibrahim, wira negara yang terkorban adalah Deputi Superintendan Micheal Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Azrul Tukiran.
Selepas hampir sejam di lokasi serangan tersebut, kami terpaksa meninggalkan kawasan itu atas nasihat Ramlee.
Dia menjelaskan keluarga suspek yang ditahan dilihat tidak senang dengan kehadiran kami.
Bimbang akan keselamatan dan atas nasihat yang diberikan, kami meninggalkan lokasi itu dengan segera.
Biarpun hanya meluangkan sedikit masa di situ, kami dapat membayangkan perit getir yang dilalui oleh pejuang negara dalam memartabatkan kedaulatan tanah air.
No comments:
Post a Comment