Friday, November 30, 2012

Menjawab 9 soalan, di sini ringkas, tepat dan padat - MBN9



Secara ringkasnya ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno 2012, merupakan pesanan terakhir beliau supaya semua persiapan dari peringkat akar umbi mahupun peringkat tertinggi dalam keadaan bersedia.Formula kemenangannya adalah bersatupadu, bekerja bersungguh-sungguh dan jangan mensabotaj parti.

Ikuti wawancara khas bersama Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan di TV9 dalam segmen ‘9 soalan’ .

Adakah Umno kini sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13?

Mohamad Hasan : Insyaallah, kerana persiapan untuk menghadapi PRU13 ini telah dilontarkan oleh Presiden Umno Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sejak tahun lepas ketika  PAU 2011. Semua orang ketika itu memikirkan bahawa PRU13 bakal menjelang pada bulan 3, bulan 6, ataupun bulan 9. Persiapan telah dibuat dengan begitu rapi namun beliau seorang yang amat berhati-hati dan beliau masih lagi mahu melihat kerja-kerja terakhir bagi memastikan jentera sudah bersedia dan segala isu dapat ditangani.

Bagaimanakah Dato’ Seri menghadapi cabaran-cabaran untuk menangkis segala tohmahan dari pelbagai pihak?

Mohamad Hasan : Pembangkang memang pandai membuat tohmahan, memfitnah dan menabur segala janji dan kita mesti beritahu kepada orang awam apa yang kerajaan telah buat dan apa janji yang telah dilakukan oleh pembangkang. Yang penting, jangan lupa tangani isu terutamanya di pusat-pusat daerah mengundi kerana ia akan dimanipulasi oleh pembangkang. Contohnya di Negeri Sembilan, kadang-kadang orang lupa kita bina sekolah baru, kita dirikan masjid baru, kita buatkan jalanraya tapi disebabkan kelewatan pihak kerajaan bertindak jika berlakunya tanah runtuh, pihak pembangkang akan mengutuk kerajaan.

Apakah jaminan Pilihan Raya Umum Ke-13 di Negeri Sembilan?

Mohamad Hasan : Insyaallah, bukan sahaja di Negeri Sembilan  tetapi di negeri lain juga perlu mengambil iktibar dan pengajaran ketika PRU12 yang lalu di mana hilang 2/3 kerusi. Umno perlu kukuh dan kuat serta sayangkan parti untuk terus menang dalam PRU13.

Bagaimana Dato’ Seri menghilangkan tekanan dalam menghadapi kehidupan yang sibuk?

Mohamad Hasan : Kerja memang sibuk dan tekanan itu memang ada tapi cara untuk mengurangkan tekanan adalah dengan melihat kerja kita dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bagi saya, saya selalu pergi berjumpa masyarakat khususnya di kawasan DUN saya untuk menyampaikan sendiri bantuan baitulmal, bantuan JKM dan ini dapat melegakan hati kerana kita melihat ramai orang yang betul-betul daif dan susah yang bergantung kepada bantuan kita. Insyaallah, kerja banyak itu tidak kisah asalkan hati senang kerana dapat menolong orang.

Apakah yang boleh dilakukan oleh Umno untuk memenangi hati pengundi-pengundi yang berada di atas pagar?

Mohamad Hasan : Pengundi-pengundi atas pagar ini kebanyakkannya bukan orang parti. Zaman teknologi serba bermaklumat ini, mereka melihat dan menilai dari pelbagai sudut. Dalam kajian yang dijalankan di pusat-pusat mengundi ramai penggundi di atas pagar. Maka, kita perlu pastikan dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan dapat disampaikan ke peringkat bawah. Pemimpin-pemimpin kerajaan  dan pemimpin parti mesti turun padang. Orang ramai sebenarnya bukan hendak minta apa-apa pun tetapi mereka hendak pemimpin mesra bersama mereka dan ini dapat menawan hati mereka sekaligus akan memihak dan menyokong Barisan Nasional pada PRU13 nanti.

Tun Dr. Mahathir ada mengulas mengenai tindakan PAS memurtadkan Umno sebagai tidak wajar. Apa komen Dato’ Seri ?

Mohamad Hasan : PAS ini menggunakan agama dalam  politik dan sedikit sebanyak akan menyebabkan perpecahan orang melayu dan ini amat dikesali bahawa PAS mengambil jalan sepeti itu. Kita telah melihat kesannya apabila keluar fatwa dari mereka dan masyarakat berpecah-belah. Sebagai orang Umno, saya amat kesal dengan kenyataan mereka yang memurtadkan Umno dan itu ditujukan kepada saya. Saya bertanya kepada diri saya sendiri, apakah saya ini murtad? Siapa mereka untuk mempersoalkan aqidah saya? Apakah dia layak untuk mempersoalkannya? Apa yang saya sudah khianati agama saya sehingga dituduh sebagai murtad? Di Negeri Sembilan kita buat masjid, kita buat sekolah agama, kita kukuhkan ajaran Islam, apa lagi yang kita tidak buat. Apa sebab yang dia mengatakan saya ini murtad?  Sama-samalah kita fikirkan.

Apakah yang akan dilakukan oleh Umno untuk mengekalkan kepercayaan masyarakat orang melayu khususnya terhadap Umno yang mana sebelum ini dilihat sedikit berpecah dan kembali bersama Umno?

Mohamad Hasan : Umno dari dulu merupakan satu parti yang mana termaktub nyata dalam perlembagaan Umno yang memperjuangkan bangsa melayu, bumiputera, menegakkan syiar agama Islam, dan raja berpelembagaan. Itu kita tidak pernah lari dari dulu lagi dan itulah yang kita buat sehingga sekarang. Hendak dikatakan PAS sebagai parti alternatif melayu boleh bersatu itu salah kerana PAS sendiri kata PAS bukan parti untuk orang melayu. Bagi saya, bangsa yang kuatlah yang akan dapat mendokong agama. 

Macam-macam yang kita dah lakukan sehingga orang luar negara mengiktiraf sistem perbankan Islam, kita buat tabung haji, dan lain-lain. Kebelakangan ini kita tidak boleh cakap mengenai kemerdekaan saja. Umno ini produk yang baik tapi kalau kita tidak buat penjenamaan semula, orang tidak akan nampak produk kita. Umno akan terus memperjuangkan agenda melayu, agama Islam dan raja berpelembagaan kita.

Bolehkah Dato’ Seri kongsikan mengenai diri Dato’ Seri bagi mereka yang di luar sana yang masih tidak mengenali Dato’ Seri dengan lebih dekat lagi?

Mohamad Hasan : Saya jarang ada waktu rehat dan kalau ada saya akan luangkan masa bersama keluarga, kalau ada masa rehat lagi saya akan balik ke kampung, 2 bulan sekali saya akan bermain golf. Makanan orang Negeri Sembilan kalau bukan masak lemak cili api tidak sah lah. Selain itu, saya suka membaca tetapi kadang-kadang menjadi ahli politik di Malaysia ini merbahaya juga kerana tiada masa untuk membaca kerana terlampau banyak kerja, terlampau banyak jangkaan orang, menghadiri banyak program dan majlis perkahwinan. Saya berharap masyarakat juga perlu memberi ruang kepada pemimpin untuk membaca. Janganlah menekan sangat pemimpin kita dan ini adalah satu perkara yang perlu dilihat kerana menjadi ahli politik tekanannya terlampau tinggi.

Apa pun, saya mempunyai 'speed reading skills' bagi membolehkan saya membaca dengan pantas. Jika masa terluang dan melalui perjalanan yang jauh dan menaiki kapal terbang misalnya, saya mampu menghabiskan sebuah buku dalam masa satu hari. Seorang pemimpin perlu dan rajin membaca kerana mereka berhadapan dengan pelbagai keadaan yang menyebabkan mereka perlu tahu sesuatu hal dan keadaan.

Bolehkah Dato’ Seri jelaskan prestasi calon-calon yang ‘winnable candidate’ di Negeri Sembilan termasuklah diri Dato’ Seri sendiri?

Mohamad Hasan : Sistem Umno di dalam Malaysia ini perlu dituruti dan tidak boleh membelakangkan parti tetapi ada tempat-tempatnya yang mana keadaan membolehkan kita memilih ‘winnable candidate’ dengan lebih tepat. Ramai orang mengaku yang dia ‘winnable candidate’ dan ini menyukarkan Presiden untuk membuat perhitungan. Saya berharap supaya kita dapat membuat proses pemilihan yang baik. Contohnya pasukan bola di mana kita beri kepercayaan kepada yang boleh main, bukannya beri kepercayaan kepada pemain  yang kita suka.

Sumber : n9kini.com

No comments:

Post a Comment