Walaupun, DAP sudah banyak kali isytihar Datuk Seri Anwar Ibrahim akan jadi Perdana Menteri jika pembangkang menang PRU 13, namun Ketua Pembangkang itu nampaknya tidak boleh duduk goyang kaki atau senyum sampai telinga sekarang.
Ini kerana ketika beliau mungkin sedang berkhayal akan jadi Perdana Menteri atas sokongan DAP dan PKR yang diketuainya, PAS yang turut jadi sekutu tetap memikirkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak menjawat jawatan itu.
Macam DAP juga yang berkali-kali mahu Anwar jadi Perdana Menteri termasuk dikatakan Lim Kit Siang malam semalam, parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu juga bukan sekali dua membuat kenyataan sama mahukan Haji Hadi pimpin negara.
Terbaru, dalam muktamar sama pagi Sabtu, Dewan Ulama PAS mengulangi bahawa ahli parlimen Marang itu paling terbaik untuk sandang jawatan Perdana Menteri.
Perkara itu dibangkitkan perwakilan Dewan Ulama, Hairun Nizam ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS itu.
Kenyataan itu tentu satu tamparan kepada Anwar juga DAP selepas Kit Siang mengulangi mahu Anwar jadi Perdana Menteri dalam ucapannya di Himpunan Kebangkitan Rakyat, malam semalam.
Pasti ramai pemimpin PAS termasuk Hairun ‘angin’ kerana Kit Siang buat kenyataan ketika dijemput ke himpunan tersebut yang hampir majoriti dihadiri penyokong dan ahli-ahli PAS.
Sudah tentu satu penghinaan kepada PAS apabila Penasihat DAP itu yang masuk ke rumah tetapi menghina atau memperkecilkan tuan rumah.
Apatah lagi, awal Januari lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tiada pemimpin PKR, DAP dan PAS yang lebih layak daripada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang ketujuh sekiranya pakatan menang pilihan raya akan datang.
Jelas, Hairun menghantar mesej jelas Dewan Ulama kepada DAP dan Anwar sendiri bahawa kenyataanya bahawa Haji Hadi lebih layak jadi Perdana Menteri adalah ‘bantahan’ apa diperkatakan Kit Siang dan Guan Eng selama ini.
"Saya ingin bertanya kepada seluruh perwakilan, siapa yang paling terbaik untuk memimpin kerajaan Malaysia akan datang kalau bukan Tok Guru Presiden," kata Hairun.
Hairun berkata, PAS sepatutnya berkempen untuk presiden mereka bagi menjawat jawatan Perdana Menteri dan bukannya untuk pemimpin parti komponen PR yang lain.
"Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tetapi beliaulah orang yang lain layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri pada masa akan datang dan kita sebagai anak didik kepada PAS, tidak sepatutnya, kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat.
"Kita meletakkan satu keyakinan bahawa presiden kita orang yang berkaliber untuk memimpin sebuah negara...," katanya mengundang sorakan oleh para perwakilan.
Paling tidak pun kenyataan Hairun itu membuktikan ada pemimpin PAS menilai Haji Hadi lebih ‘bersih’ berbanding Anwar yang terpalit pelbagai kontroversi dan perlakuan moral.
Kepada DAP dan PKR, Anwar adalah aset tetapi bagi sebilangan pemimpin PAS yang belum diresapi pengaruh Anwarinas, bekas timbalan perdana menteri itu adalah liabiliti.
Malah, isu terbaru babitkan anak Anwar iaitu Nurul Izzah berhubung soal kebebasan agama mungkin semakin membuka mata pemimpin dan ahli-ahli PAS bahawa Anwar dan PKR macam dedalu api – merosakkan pokok lain yang ditumpangnya.
Apapun, Anwar mungkin tidak risau tentang impiannya itu kerana selagi bukan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat buat kenyataan Haji Hadi layak jadi Perdana Menteri, Anwar boleh terus mengejar mimpi.
No comments:
Post a Comment