Dua portal berita pada Jumaat diberi amaran supaya menghentikan tindakan biadap segera terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau berdepan dengan kemarahan umat Islam.
Menurut, Senator Ezam Mohd Nor, amaran keras itu selepas Malaysiakini dan The Malaysian Insider dengan sengaja membesar-besarkan isu pemeriksaan JAIS ke atas sebuah gereja sehingga menfitnah JAIS.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berucap dalam satu perhimpunan mempertahankan JAIS di perkarangan Masjid Negeri Shah Alam selepas sembayang Jumaat tadi.
Ezam sebelum itu dalam ucapannya memberi amaran kepada kumpulan Kristian agar menghentikan kegiatan memurtadkan umat Islam sekiranya tidak mahu berdepan dengan “perang.”
Menurut Ezam, masalah besar akan berlaku sekiranya kumpulan Kristian meneruskan kerja-kerja memurtadkan umat Islam walaupun perkara itu tidak dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Amaran ini bukan hanya kepada pemimpin, tetapi agen-agen mereka, Malaysiakini, Malaysian insider, yang bersikap biadap kepada Jabatan Agama Islam, fitnah Jabatan Agama Islam, kononnya kita ceroboh, kononnya kita tidak beradap.
“Malaysiakini dan Malaysian Insider, kita beri amaran terakhir, jika kamu tidak hentikan semua ‘sampah’ ini, kami akan pergi dan 'bakar' kamu... Jelas, mereka adalah pengkhianat kepada umat Islam,” katanya dalam ucapan di depan 500 orang yang hadir.
Sementara itu, kata-kata Ezam disokong oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin.
Beliau bahkan meminta supaya mereka yang beragama Islam yang bekerja di media tersebut bertaubatlah.
“Kamu sedang menjadi barua, propagandist dan musuh Islam. Saya hendak cakap terang-terang, saya sudah bagitahu banyak kali kepada sahabat-sahabat di Malaysiakini, Malaysia Insider jangan jadi barua kafir harbi yang menentang kita hanya kerana sesuap nasi.
“Rezeki berada di mana-mana, jangan kita rasa rezeki kita tidak ada kecuali di Malaysiakini dan Malaysia Insider, jelas mereka ini adalah alat propaganda untuk menghancurkan umat Islam.
‘Saya seru kepada mereka yang juga sahabat-sahabat saya?”katanya dalam sidang media selepas perhimpunan tersebut.
Sebelum itu, perhimpunan yang berlangsung sejurus selepas sembayang Jumaat itu tersebut dimulai dengan ucapan ‘buka gelanggang’ oleh Exco Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam.
Menurut Lokman, semua pihak perlu menghormati tindakan JAIS yang cuba membanteras penyebaran agama di kalangan umat Islam.
“Kita lihat hari ini sudah muncul kumpulan pelampau yang melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menghalang agama lain disebarkan kepada Umat Islam di negara ini.
“Masa untuk berdiam diri dan membiarkan mereka menyebarkan agama kepada umat Islam sudah berkahir, kita akan tentang siapa juga yang menyebarkan apa agamapun kepada umat Islam," ujar Lokman yang juga Ketua Unit Pidato Pemuda UMNO.
Kata lagi, perkara ini berlaku kerana ada pengkhianat di kalangan umat Islam sendiri.
Manakala Ezam selaku penceramah kedua berkata, orang Islam tidak ada masalah dengan orang bukan Islam, selagi mana mereka menghormati agama Islam.
“Selama puluhan tahun sejak merdeka, apakah kita sebagai umat Islam pernah menzalimi mereka yang bukan Islam hanya kerana mereka bukan Islam?”
“Kepada orang bukan Islam, kita tiada masalah dengan mereka, malah kita juga melindungi, menjaga dan mempertahankan mereka.
“Tapi kita nak jelaskan, kita ada masalah besar dengan orang bukan Islam yang kurang ajar... dengan orang bukan Islam yang biadab, dengan orang bukan Islam yang tarik orang Islam untuk keluar dan murtad,” katanya.
Tegas Ezam, kumpulan Kristian perlu menghentikan segera kegiatan “dakwah” itu dengan serta-merta.
“Kita memang ada masalah besar sebab itu kita keluar, kita mahu nyatakan pendirian kita dalam perkara ini, kita hormat mereka selagi mereka menghormat kita.
“Kalau terpaksa kita bersedia berperang dengan mereka demi mempertahankan akidah umat Islam kalau mereka tidak berhenti daripada meneruskan kegiatan ini,”
Ezam berkata beliau juga menentang semua umat Islam yang tidak mempertahankan kedudukan agama itu demi kepentingan politik.
“Kita berhimpun untuk mengatakan komitmen kita, sikap kita, yang jelas bahawa Allah mengatasi segalanya. Kita berhimpun untuk mempertahankan agama Allah.
“Kita bukan jenis manusia yang sanggup menggadaikan agama Allah untuk kepentingan pangkat, kedudukan untuk kepentingan undi.
"Kita bukan jenis manusia yang mengucap dua kalimah syahadah, tetapi ada illah-illah (sembahan) yang lain, illah mereka jawatan menteri besar, illah mereka adalah undi, kita ingin mempertegaskan bahawa illah kita adalah Allah dan kita rela mati untuk mempertahankannya,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli Noordin yang juga penceramah terakhir berkata, kegiatan memurtadkan umat Islam berlaku disebabkan “kebaculan” orang Melayu sendiri.
“Apa yang berlaku di Gereja Methodist Damansara Utama adalah sebahagian kecil kegiatan murtadkan yang sudah lama berlaku, Kristian akan gunakan apa sahaja cara untuk menarik umat Islam.
“Kita tiada masalah dengan Kristian tapi kita ada masalah dengan mereka yang cuba tarik (umat Islam), dalam Perlembagaan Persekutuan sudah jelas Islam adalah agama negara dan kedudukan Islam tidak boleh disentuh,” katanya
No comments:
Post a Comment