Tuesday, April 2, 2013

Nalla vs Anwar: Karpal Singh disepina jadi saksi


karpal-singhyy
Senator Datuk S. Nallakaruppan mahu mensepina peguam Karpal Singh, ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali dan bekas pemandu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azizan Abu Bakar untuk hadir sebagai saksi bagi pihaknya dalam saman fitnah pemimpin pembangkang itu berhubung kenyataan berbaur fitnah pada 2008.
Peguam bela utama Nallakaruppan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata Karpal akan menjadi saksi yang 'berguna dan membantu' berhubung apa yang dikatakannya di parlimen berhubung pendedahan Azizan dan Umi Hafilda kepadanya semasa dua pertemuan dengannya pada 22 Okt dan 18 Dis mengenai insiden liwat pertama membabitkannya (Azizan) dan Anwar.
"Berdasarkan rakaman hansard, Karpal memberitahu parlimen bahawa beliau kagum dengan pendedahan Azizan yang disokong dengan akuan berkanun di mana dia membabitkan Anwar dan kemudiannya menjadi perkara penting perbicaraan mahkamah berhubung kes liwat itu," Shafee memberitahu pemberita di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Shafee menyifatkan Karpal sebagai anggota parlimen penting dan berwibawa di mana keterangannya amat penting bagi defendan (Nallakaruppan) untuk bekerjasama dengan pendedahan Azizan mengenai insiden itu.
"Malah pada 2007, Karpal juga mempelawa Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Azizan dan Umi berhubung perkara ini," kata Shafee.
Ditanya sama ada beliau sudah mendapat sepina, Shafee berkata isu awal mengenai saman masih belum selesai di Mahkamah Rayuan dan beliau akan membuat permohonan sebaik sahaja mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan saman itu.
Pada 26 Mac, Anwar memfail saman terhadap Nallakaruppan kerana mengeluarkan kenyatan fitnah terhadapnya yang disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia pada 20 Mac, 2008.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata perkataan fitnah yang terkandung dalam artikel akhbar berkenaan adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.
Anwar menuntut ganti rugi am berjumlah RM100 juta, selain ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

No comments:

Post a Comment