Sunday, April 7, 2013

Gema gendang perang BN...di pelancaran manifesto


pru-manifesto1xx
Ada yang kata 40,000 ribu, ada yang tulis 50,000 ribu hadiran, tapi angka tidak lagi penting jika anda berada di Stadium Putra Bukit Jalil ketika majlis Perhimpunan Janji 1Malaysia dan pelancaran Manifesto BN pada Sabtu malam.
Ini kerana mood hadirin yang yang menyertai perhimpunan tersebut boleh buat 'cerin bulu roma', terutama bagi para wartawan yang menyaksikan dari sudut media terletak sebelah kiri pentas utama.
Siapa saja yang berada di situ dapat merasakan ia merupakan view paling cantik untuk kita melihat semangat membara 'gelombang biru' di keseluruhan stadium tertutup itu.
Ketika Agendadaily tiba dipekarangan stadium yang terletak ditepi Stadium Nasional Bukit Jalil itu pada jam 7.00 petang, pintu-pintu utama sudah ditutup untuk orang ramai, hanya petugas media dan mereka yang memiliki tag sahaja dibenarkan masuk.
Keadaan memang luar biasa sesak, di luar stadium ada skrin gergasi, dan mereka yang tidak dapat masuk pakat duduk di sekitarnya untuk tengok depan skrin. Sekali imbas macam suasana di PWTC ketika Perhimpunan Agung UMNO, cuma di PWTC warnanya merah tapi di Stadium Putra temanya biru.
Di dalam stadium, segenap tempat duduk penuh, ramai yang berdiri depan pentas, sebelum siaran langsung di TV, kira-kira jam 8.00 malam, pengacara majlis terpaksa berkali-kali meminta agar tiga baris kerusi paling hadapan dikosongkan.
Ini kerana ramai VIP yang tidak ada kerusi hendak duduk. Namun dalam suasana meriah macam itu, VIP yang hadirpun sudah tidak peduli protokal. Ramai yang duduk di mana saja tempat yang orang bagi. Ada yang lebih suka berdiri di tepi pentas.

Kain rentang berbagai jenis menghiasi seluruh stadium, macam-macam tulis, seperti 'Anak muda Kota Tinggi bersama BN', 'BN Bersama Najib' selain plakad yang tertera ungkapan 'I Love PM' dan 'We Love BN'.

pru--bendera

Bendera BN dikibarkan setiap masa dan suasana seperti sebuah perayaan, sehinggalah pengumuman ketibaan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama timbalannya Tan Sri 
Muhyiddin, gamat stadium dengan gemuruh suara.

Seorang wartawan senior yang duduk di sebelah saya menganalisa suasana berkata, "Najib sedang tuai hasil kerja kerasnya selama ini,"
Umum tahu, Najib mengambilalih pucuk kepimpinan parti dan negara setahun selepas BN dilanda 'tsunami politik'. Kerajaan BN tidak mendapat mandat dua pertiga di Dewan Rakyat kali pertama sejak merdeka.
Selain kehilangan lima buah negeri ke tangan pakatan pembangkang sebelum Perak berjaya dirampas semula berikutan krisis dalaman pembangkang di sana.
Najib yang menahkoda bahtera BN, dengan pantas menyusun misi dan visi, dengan strategi jangka pendek dan panjang, untuk memulihkan kembali bukan sahaja parti bahkan  negara.
Dua hari selepas dilantik sebagai PM, beliau melancarkan slogan '1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'.
Sejak itu, Najib dibantu Muhyiddin dan lain-lain menteri kabinet tidak memandang kebelakang lagi, biarpun berdepan berbagai tekanan dari pembangkang, mereka menyusun langkah sebagai satu pasukan bagi mengharungi PRU ke 13.
Kini, selepas empat tahun, Najib boleh tarik nafas lega, usaha-usaha kerasnya, mula menampakkan hasil.
Dalam BN misalnya, semangat perpaduan diantara parti komponen cukup padu. Ketika Najib berucap selaku Pengerusi BN melancarkan manifesto atau yang disebutnya dokumen Akujanji BN, semua 14 pemimpin tertinggi parti-parti komponen BN berdiri dibelakangnya.
Hampir sejam Najib berucap, hampir sejam jugalah mereka berdiri bersama-sama Najib, satu signal kepercayaan, keyakinan dan perpaduan.
Sebab itu ketika lagu 'Barisan Kita' dinyanyikan, gemanya seperti gema perang. Semangatnya lain macam.
Najib sendiri boleh merasai getar semangat tersebut. Dalam ucapannya beliau berkata, perhimpunan tersebut begitu luar biasa.
"Perhimpunan malam ini begitu luar biasa. Dalam pengalaman hidup selama 37 tahun dalam politik, saya berani mengatakan perhimpunan malam ini paling hebat yang pernah 
saya lihat," katanya.

Dulu, BN tidak pernah melancarkan manifesto sebelum hari penamaan calon. Ini yang pertama. Dan sebelum ini tidak pernah dibuat semeriah dan gah begini.
"Penyokong BN datang dari seluruh negara. Ada yang ahli biasa, ada yang pegang jawatan peringkat bahagian hinggalah ke pusat, dan mereka gembira, kita boleh lihat semangat mereka, ia bukan sesuatu yang dibuat-buat sebaliknya kerana luapan kepercayaan yang tinggi kepada pucuk pimpinan BN,"kata Exco Pemuda UMNO, Tun Faisal Ismail kepada Agendadaily.
bn-ceria
Dalam ucapannya Najib berkata, beliau bermula dari bawah dan mendaki tangga kejayaan satu persatu sebelum mencapai kedudukan yang beliau miliki hari ini.
"Saya pun dah lama dalam kerajaan...daripada rambut hitam lebat sampailah rambut macam hari ini. Saya naik satu per satu, step-by-step. Dan saya tak tikam sesiapa dari belakang.
"Sebab salah satu prinsip dalam perjuangan adalah kesetiaan kepada ketua. Saya telah berkhidmat kepada tiga perdana menteri dan saya setia kepada tiga perdana menteri," katanya yang mendapat tepukan gemuruh dari hadirin.
Kata Najib, pilihan kini terletak di tangan rakyat sama ada mahu memilih Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau beliau sendiri sebagai pemimpin negara pada pilihan raya umum akan datang.
"Dengan penuh rendah diri, kalau rakyat Malaysia jawab Najib, maka sokong dan undilah BN. Sebab saya tak boleh lakukan perkara ini (mentadbir negara) seorang...perlukan pasukan. Dan pasukan inilah yang akan bertanding, jadi perlu beri sokongan yang padu kepada pasukan," katanya.
Najib dalam pada itu berkata pembangkang tidak boleh diberi peluang mentadbir negara kerana gagal membawa kemajuan sepanjang lima tahun mentadbir empat negeri.
Beliau percaya, berdasarkan rekod pencapaian BN, rakyat kini lebih menyakini BN, malah menegaskan Anwar telah semakin hilang kepercayaan daripada orang-orang yang rapat dengannya.
"Yang terbaharu, Sidek Baba. Sidek Baba kata dia telah hilang kepercayaan kepada Anwar dan dia juga kata Anwar tidak layak jadi perdana menteri. Ini bukan saya kata. Ini rakan lamanya," katanya sambil disambut tepukan dan sorakan daripada hadirin.
Datuk Dr Sidek Baba merupakan bekas rakan karib Anwar yang sama-sama berjuang dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang bertindak meninggalkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu baru-baru ini kerana tidak lagi yakin dengan kredibilitinya.
Tegas Najib, bukti Anwar semakin hilang sokongan juga dapat dilihat apabila daripada 34 pemimpin yang menubuhkan PKR kini hanya tinggal dua orang.
"Kalau orang yang tubuhkan parti sendiri sudah hilang kepercayaan, takkan rakyat tertipu untuk beri sokongan kepada pemimpin yang tiada track record dan kredibiliti," kata Najib.
Beliau juga  meminta rakyat renung apa yang Anwar ada buat selama dalam kerajaan dulu.
bn-manifestocrowd
Ini termasuk Anwar yang hanya gemar menabur cerita pengalamannya di dalam kerajaan, tetapi sebenarnya tidak melakukan apa-apa yang bermanfaat kepada rakyat dan negara, katanya.
"Soalnya bukan jangka masa dia dalam kerajaan yang harus diambil kira, tetapi apa yang dilakukan semasa dalam kerajaan. Bila krisis kewangan berlaku apa yang dia buat? Dia nak serah saja pada IMF (Tabung Mata Wang Antarabangsa), kalau begitu senang, tuan-puan pun boleh jadi menteri kewangan," ujarnya sinis.
Manifesto BN yang disifatkan Najib sebagai dokumen akujanji itu mengandungi 150 komitmen baru jika BN diberi mandat semula mentadbir negara selepas PRU13.
112 daripada komitmen tersebut telahpun dilaksanakan dan selebihnya menambah kekuatan janji-janji demi memenuhi keperluan rakyat.
"Manifesto ini perlu dilihat sebagai moving target dan janji-janji dinamik yang akan dilaksanakan sepanjang 2013-2018. Apa yang dibentangkan adalah sangat realistik, berlandaskan kulkulasi ekonomi yang berhati-hati dan tidak semberono,"kata seorang anggota war room BN kepadaAgendadaily.
Dengan tema 'Menepati Janji, Membawa Harapan' dokumen Akujanji BN tersebut diserahkan Najib kepada setiap ketua parti kompenen BN untuk diedarkan kepada ahli masing-masing.
Di dalam halaman terakhir Manifesto BN ada satu tulisan bertajuk "Renungan."  
Najib menegaskan "Kita akur, kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadukan untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gegak gempita menyalahkan orang lain," jelasnya.
Menurutnya, PRU13 ini merupakan kali pertama beliau memimpin gabungan BN untuk menghadapi PRU setelah terlibat dalam politik sejak 37 tahun lalu, dengan "rendah hati memohon mandat dari rakyat untuk membawa Malaysia ke mercu kegemilangan baharu."
"Saya meminta diberi peluang untuk memimpin sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat," ujarnya.
Perdana Menteri berkata kebolehpercayaan adalah perkara penting yang perlu dinilai oleh pengundi dalam membuat penentuan memilih kerajaan untuk berkhidmat kepada mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya berdasarkan pencapaian, rakyat perlu menimbang sama ada BN atau pembangkang yang boleh dipercayai untuk memimpin negara ini seterusnya.
"Satu perkataan yang amat bermakna pada pilihan raya kali ini ialah 'kebolehpercayaan'. Sama ada pengundi punya kebolehpercayaan pada BN atau pembangkang,"katanya

No comments:

Post a Comment