Wednesday, September 7, 2011

Tubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk menulis semula sejarah kemerdekaan negara tidak masuk akal

Cadangan pemimpin pembangkang supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi menyemak dan menulis semula sejarah kemerdekaan negara disifatkan sebagai tidak masuk akal dan tidak seharusnya disuarakan oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang itu. 

Tokoh sejarah, Datin Paduka Prof Dr Ramlah Adam, berkata tiada kesilapan dalam catatan sejarah negara sehingga memerlukan ia disemak dan ditulis semula. 

“Dalam bidang akademik, fakta boleh berlaku kerana ada bahan atau sumber kerana ia yang mencipta sejarah. Biar sejarah berlaku sewajarnya kerana yang mencipta sejarah adalah masa dan tidak boleh diubah... 

Oleh itu jangan pengaruhi sejarah. Tidak cukupkah penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah sampai nak tubuhkan Jawatankuasa Kabinet,” katanya semalam.

Semalam pemimpin PAS pada sidang media di ibu pejabat parti itu menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi menyemak semula sejarah kemerdekaan negara yang didakwa tidak menggambarkan fakta sebenar dan tidak adil.


Tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berpendapat kenyataan pemimpin pembangkang itu hanyalah pandangan orang biasa, bukan mereka yang pakar dalam sejarah kemerdekaan negara.


“Mereka tidak seharusnya bercakap dalam isu ini kerana mereka ‘kosong’ dalam menilai fakta sejarah. Apakah sumber yang boleh digunakan kalau sejarah kemerdekaan negara perlu disemak dan ditulis semula.

“Kalau mereka beriya-iya mahu menulis semula sejarah, saya ada satu soalan untuk mereka, apakah sebenarnya yang berlaku pada 31 Ogos 1957.... 

Mungkin ramai yang memberi jawapan tarikh itu adalah tarikh penjajah British pulang ke negara mereka tetapi sebenarnya pada tarikh itu Raja tinggalkan kedaulatan kepada rakyat dan negara menjadi bangsa yang mengamalkan demokrasi berparlimen, dan Raja sendiri menjadi Raja Berperlembagaan, katanya.

Sumber: N9kini.com

No comments:

Post a Comment