Sunday, September 4, 2011

Kekejaman PKM tetap dirasa... Baca disini...

ORANG Melayu menentang Parti Komunis Malaya kerana serik dengan kekejaman terhadap orang awam yang tidak bersalah.


SERANGAN bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Balai Polis Bukit Kepong, 35 kilometer dari Muar, jam 4.30 pagi pada 25 Februari 1950, adalah sangat berkesan dalam sejarah negara.


Serangan itu memperlihatkan kegigihan dan kecekalan anggota polis yang begitu kecil jumlahnya iaitu 20 orang bersama enam Pengawal Kampung (Home Guards) mempertahankan maruah sebuah institusi yang melambangkan keselamatan dan kedaulatan negara dan masyarakat. Mereka memang menjadi sasaran Parti Komunis Malaya yang meletakkan Rejimen 3 dan 4 untuk bergerak dan menguasai Johor.

Serangan yang melibatkan 180-200 orang anggota Malayan Races Liberation Army (MRLA), PKM itu telah diketuai oleh Mat Indera. Dalam serangan itu Sarjan Jamil Mohd Noh, Ketua Balai telah mengetuai anak buahnya untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong, Balai Penghulu dan Berek Kelamin Polis daripada ditawan oleh komunis. Mereka tidak mahu menyerah kalah walaupun dipujuk oleh Mat Indera melalui isteri seorang anggota polis yang dapat ditangkapnya di berek kelamin.

Mereka tidak berganjak daripada lubang-lubang kubu pertahanan mereka walaupun seorang demi seorang anggota polis itu tercedera dan tertewas oleh peluru komunis yang datang seperti hujan menimpa bumi. Mereka berjuang selama enam jam tanpa mengira keselamatan nyawa mereka.

Ada juga isteri-isteri polis yang cuba melawan membela kematian suami mereka. Namun, kudrat mereka tidak seberapa. Kekejaman komunis mengatasi segala-galanya. Mereka bukan sahaja membakar kompleks balai polis itu menjadi debu, tetapi sanggup membaling seorang anggota polis yang cedera ke dalam api yang sedang membara. Tiga orang isteri polis juga dihumban ke dalam api tanpa belas kasihan.

Ada yang terpaksa berpelukan ketakutan menunggu kematian yang menyeksakan itu. Seorang kanak-kanak juga menjadi mangsa kekejaman komunis. Mereka rentong seperti arang. Hanya Yusof Rono, seorang anggota polis yang cedera parah dapat melepaskan diri untuk meminta bantuan. Dato’ Onn Ja’afar, Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, yang telah melawat kawasan itu menyifatkan pertahanan anggota-anggota Balai Polis itu adalah sebagai sesuatu tindakan yang sangat `determined and heroic’.

Seramai 25 orang yang terkorban mempertahankan Balai Polis itu; 19 orang anggota polis dan 6 orang pengawal kampuong. Bagi Mat Indera dan PKM, ini adalah satu kejayaan besar. Mat Indera tidak rasa bersalah walaupun mereka yang dibunuh dan dibakar hidup-hidup adalah sebangsa dan seagama dengannya.
Mengapa Mat Indera berada dalam PKM dan terlibat dalam Peristiwa Bukit Kepong?

Jika disusuri sejarah politik negara, PKM telah menjalankan satu dasar Malayan United Front iaitu satu dasar yang telah diputuskan sebelum 1948 lagi. Dalam dasar ini, PKM akan cuba menyebarkan pengaruh dan ideologi komunis kepada semua bangsa di Tanah Melayu. PKM yang ditubuhkan pada 1927/1930, selama ini hanya mendapat sokongan daripada satu bangsa sahaja sedangkan orang India dan Melayu terutamanya tidak ramai menjadi anggotanya


Untuk mencapai tujuan ini, anggota PKM telah meresap masuk dan menubuhkan kesatuan sekerja, parti-parti politik serta badan-badan masyarakat yang lain. Malah mereka juga menyamar dengan nama orang Melayu dan menggelarkan dirinya sebagai Haji seperti Cheng Nan yang menyamar sebagai Haji Hashim dan bergaul dengan masyarakat Melayu di Pahang. Malah untuk menunjukkan imej kerjasama bangsa itu, Musa Ahmad, seorang kelulusan sekolah agama rakyat telah dilantik sebagai Pengerusi PKM. Beliau kemudian digantikan oleh Abdullah C.D. apabila Musa bermastautin di China. Namun, mereka adalah boneka kerana Chin Peng adalah pemegang dasar PKM.

Terpengaruh
Mat Indera dan ramai orang Melayu pada masa itu terpengaruh dengan dasar ini. PKM telah membakar semangat mereka dengan perasaan anti–kolonial dan anti-kuasa Barat. British yang menguasai Persekutuan Tanah Melayu dilihat sebagai penjajah yang mengeksploitasi ekonomi negara. Manakala Raja-Raja Melayu dan pembesar Melayu yang memimpin UMNO dilihat sebagai penyokong British. Ini kerana PKM telah gagal untuk mendapat perhatian British selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1948. Sebelum itu PKM telah bekerjasama dengan British untuk menentang pihak Jepun di antara tahun 1942-1945. Ramai anggota Komunis telah diberi penghargaan oleh British. Chin Peng diberi gelaran Sir oleh British. PKM juga menyokong rancangan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada April 1946. Ini kerana Malayan Union bersifat kesatuan dan republik serta menjadi tanah jajahan takluk British. Kerakyatan juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang lahir di tanah jajahan takluk British. Rancangan Malayan Union ini dianggap progresif kerana tamadun Melayu yang terbina sejak 1273 atau 1400 dengan Kesultanan Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain akan terhapus. Seluruh Tanah Melayu akan dikenal sebagai Malayan Union dan diperintah oleh Gabenor yang dilantik oleh Raja England dan Wales. Ketuanan Melayu yang berpaksikan Raja Melayu akan termusnah sama sekali.

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment