Saturday, September 10, 2011

Hindar aktiviti cenderung tentang kerajaan



Mohamad Hasan memberi kata-kata semangat kepada sebahagian pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke Asia Barat selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Intensif Timur Tengah 2011 di Seremban, semalam.



Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memberi ingatan kepada para pelajar yang akan dan sedang melanjutkan pelajaran mereka di Mesir supaya menghindari sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh sebuah persatuan yang dilihat cenderung menentang kerajaan.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persatuan yang masih bergerak aktif itu dipercayai giat menjalankan aktiviti dengan mendoktrinasi para pelajar melalui aktiviti-aktiviti orientasi yang dijalankan selama dua hingga sebulan.

''Mereka ini adalah pelajar yang telah gagal dalam peperiksaan dan tidak pulang ke Malaysia. Sebenarnya mereka ini adalah penyokong dan bergabung dengan parti pembangkang untuk menghasut pelajar lain untuk membenci kerajaan.

''Oleh sebab itu kita tidak membenarkan para pelajar negeri ini menjadi ahli kepada persatuan itu sebab kita mempunyai Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan selain pegawai pentadbir yang menjaga dan memberi bantuan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Program Intensif Timur Tengah 2011 di Klana Resort dekat sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Hakim Syarie negeri, Mohd. Shukor Sabudin dan Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamarudin.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Besar juga mahu supaya pencapaian pelajaran para pelajar di tiga buah negara meliputi Mesir, Jordan dan Maghribi dapat diteruskan memandangkan masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

''Walaupun para pelajar kita antara yang terbaik di sana namun kita perlu mencapai matlamat yang kita sasarkan kerana masih ada lagi para pelajar yang gagal dalam peperiksaan terutamanya mereka yang berada pada tahun pertama.

''Oleh kerana itulah saya nasihatkan mereka supaya menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan kita telah pun menyediakan segala keperluan yang mereka inginkan agar pencapaian yang kita sasarkan diperoleh," katanya.

Pada majlis berkenaan, Mohamad turut menyampaikan sijil dan sumbangan wang pendahuluan dari MAINS kepada lebih 40 orang pelajar negeri ini yang akan melanjutkan pelajaran di Mesir, Jordan dan Maghribi.

No comments:

Post a Comment