Saturday, January 5, 2013

Anwar arah AMK anjur Himpunan Shamsidar?


Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan mengecam rancangan pakatan pembangkang untuk menganjurkan perhimpunan bagi memastikan isteri Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali, Shamsidar Taharin tidak menjadi saksi di mahkamah.

Nallakaruppan mendakwa, rancangan mengenai ‘Himpunan Shamsidar’ itu dijadual berlangsung pada 12 Januari depan iaitu beberapa hari sebelum perbicaraan kes saman fitnah mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dakwaan aktiviti biseksual.

“Mereka hendak mengadakan demonstrasi jalanan bagi mengelirukan proses undang-undang yang berlangsung di mahkamah. Kenapa tidak mahu Shamsidar menjadi saksi?


“Saya kira semua rakyat akan berpeluang mendengar pendedahan yang bakal berlaku apabila Shamsidar naik ke kandang saksi untuk memberi keterangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Nallakaruppan serta syarikat penerbitan, Utusan Melayu (M) Bhd. pada 26 Mac lalu ekoran petikan ringkas yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Mac lalu di muka hadapan bertajuk Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla dan berita penuh di muka surat enam bertajuk Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.

Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan sebahagian besar pembelaan Nallakaruppan serta Utusan Melayu dalam kes saman tersebut dikekalkan.


Nallakaruppan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Mei lalu menyenaraikan kira-kira 10 orang termasuk Shamsidar bagi membuktikan dakwaannya berhubung seksualiti bekas rakan baiknya itu.

Jelas Nallakaruppan, kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar melibatkan kepentingan awam dan Shamsidar perlu tampil menjadi saksi bagi membuktikan kebenaran di mahkamah.

Anwar adalah seorang pemimpin politik yang bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri, sudah tentu ia melibatkan kepentingan awam. Saya berharap isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga dapat hadir ke mahkamah untuk mendengar semuanya," katanya. Sila klik di sini.

Tuesday, January 1, 2013

Nasihat Isa Samad kepada ahli UMNO...


Setiap anggota Umno perlu bersedia berkorban dengan melupakan segala ketidakpuasan hati yang menimbulkan perpecahan terutama di peringkat bahagian, menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pengorbanan tersebut amat penting untuk dilaksanakan setiap anggota parti bagi memastikan tumpuan sepenuhnya dapat diberi terhadap usaha untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN). 
"Masalah dalaman di bahagian masing-masing mesti dihapuskan ataupun dikurangkan, kerana jika tidak ia akan memberi kesan kepada (keputusan) pilihan raya nanti.

"Bagi mereka (anggota Umno) yang benar-benar sayangkan parti yang ingin parti menang, tentu akan dapat mengorbankan sedikit sebanyak apa-apa yang menimbulkan keraguan atau masalah terhadap diri mereka, untuk kebaikan parti," katanya kepada Bernama.

Katanya, jika anggota parti tidak dapat melupakan segala ketidakpuasan hati yang dirasai, kemungkinan menjelang pembubaran Parlimen nanti, akan menimbulkan suasana kelam kabut yang boleh memberi kesan terhadap aktiviti kempen parti.

"Kalau kita dapat melakukan pengorbanan ini (melupakan perasaan tidak puas hati) apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan sahaja pembubaran Parlimen, kita sudah boleh laksanakan tanggungjawab, walaupun sekarang ini kita sudah boleh laksanakannnya.

"Kita tidak mahu dalam tempoh berkempen nanti selepas pembubaran Parlimen, kita membuang masa dua atau tiga hari, bagi membetulkan calon atau sebagainya, ini tidak boleh kita amalkan, kita tidak boleh gunakan tempoh masa yang amat penting ini untuk menyelesaikan masalah dalaman," katanya.

Mohd Isa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang turut mengingatkan agar anggota Umno tidak melakukan sabotaj terhadap parti dan perlu sentiasa merenung dan memikirkan nasib parti selepas PRU13.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Felda berkeyakinan bahawa BN mampu memenangi kesemua 54 kerusi Parlimen yang mengandungi kawasan Felda di seluruh negara, kerana kerajaan telah berjaya membawa pelbagai kebaikan bagi masyarakat peneroka yang tidak mampu diberikan pembangkang

Sunday, December 30, 2012

Hadi minta RTM, TV3 beri satu jam jelaskan isu Amanat Hadi

Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 
KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta kerajaan memberi beliau peluang siaran secara langsung sejam menerusi RTM untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi yang kembali menjadi polemik semasa.
Selain RTM, Abdul Hadi turut meminta rangkaian Kumpulan Media Prima terutama TV3 juga memberinya peluang yang sama.

Ahli Parlimen Marang itu enggan menyatakan pendirian sama ada amanat itu harus ditarik balik atau tidak dalam sidang media kerana percaya kenyataannya tidak akan disiarkan penuh sebagaimana diharapkan selain berlakunya diputar belit fakta.

“Saya minta supaya diberi peluang secara langsung sejam oleh RTM dan TV3. Beri satu jam biar saya jelas, lepas itu masyarakat boleh nilai,” kata beliau selepas melancarkan Petugas Muslimat Marang PRU13 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, pagi tadi.

Friday, December 28, 2012

Jika Ikut Prinsip Demokrasi, Anwar Tak Layak Jadi PM – Prof Madya Dr Siva


KUALA LUMPUR, 28 Dis – Kenyataan DAP dan PKR  yang bertegas mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mengenepikan cadangan agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menduduki kerusi Perdana Menteri (PM) sekiranya Pakatan Pembangkang memenangi PRU ke 13 nanti, memperlihatkan sikap tidak demokratik Pakatan Pembangkang di dalam soal pemilihan ketua untuk menerajui negara.

Ini disebabkan,  jawatan yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baik di dalam parti PKR, mahu pun di dalam gabungan Pakatan Pembangkang merupakan jawatan lantikan dan bukannya pemilihan secara demokrasi yang berlaku di peringkat  akar umbi, demikian menurut kata Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.

“Sedangkan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan seorang pemimpin yang dipilih oleh ahli akar umbi mengikut saluran demokrasi yang sebenar. Bagaimana kita mahu meletakkan seorang pemimpin yang tidak tidak dipilih secara demokrasi  di dalam partinya sendiri untuk menerajui negara yang berpegang kepada prinsip demokrasi?

“Sepatutnya, Presiden Pas lebih layak lantaran jawatan yang dipegang beliau di dalam parti adalah berdasarkan pemilihan ahli di peringkat akar umbi. Jadi, daripada sudut demokrasi, ternyata Abdul Hadi lebih layak berbanding Anwar untuk jawatan PM,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambahnya lagi, sekiranya DAP dan PKR terus bertegas mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui negara ini sekiranya Pakatan memenangi PRU yang akan datang, keputusan ini secara tidak langsung telah bercanggah dengan prinsip-prinsip demokrasi di negara ini.

Jelas beliau, jawatan Ketua Umum di dalam PKR tidak wujud dalam perlembagaan parti. Jawatan tersebut diwujudkan hanya untuk Anwar dan ia langsung tidak melalui proses pemilihan secara demokrasi untuk jawatan tersebut.

“ Jadi bagaimana kita mahu mengambil seorang pemimpin, untuk memimpin sebuah negara demokrasi, sedangkan jawatan yang dipegangnya di dalam parti itu tidak wujud dan tidak melalui sistem pemilihan demokrasi yang betul?

“Bukankah itu ternyata bercanggah dengan sistem amalan dan prinsip demokrasi di negara ini? Sepatutnya, Pakatan Pembangkang memilih seorang pemimpin yang memegang jawatan tertinggi di dalam parti yang melalui proses pemilihan secara demokrasi oleh akar umbi.

“Jadi, bagaimana mungkin untuk melantik Datuk Seri Anwar sebagai PM, sedangkan jawatan yang disandang oleh beliau sendiripun di dalam parti tidak melalui proses pemilihan secara demokrasi?,” soalnya lagi.

Beliau juga berpendapat DAP dan PKR sepatutnya menghormati cadangan Pas yang mencadangkan presiden parti tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memegang jawatan PM jika ditakdirkan mereka menguasai kerajaan kelak.

“Malaysia mengamalkan prinsip demokrasi dan parti-parti gabungan di dalam Pakatan Pembangkang juga harus menghormati prinsip ini, sekiranya mereka mahu memerintah negara ini.

“Justeru itu,  pemimpin yang layak untuk untuk dipilih sebagai ketua negara adalah pemimpin yang mempunyai legitimasi  melalui proses pemilihan jawatan secara demokrasi di dalam parti mereka sendiri terlebih dulu, dan bukannya pemimpin yang memegang jawatan parti yang tidak melalui proses secara demokrasi di dalam partinya sendiri,” jelasnya. -MediaUMNO

Wednesday, December 26, 2012

Pembangkang tak sebut Negeri Sembilan.. Ohhhh Yer???

pru-kempen1xx 

Pemimpin BN tak pernah buka mulut pasal berapa kerusi boleh menang dalam pilihanraya umum ke 13 walaupun pemimpin pembangkang berlumba-lumba cakap mereka boleh merampas Putrajaya.

Sudah lama PKR,DAP dan PAS main angka kononnya mereka sudah ada 105 kerusi parlimen dalam tangan dan Cuma perlu tujuh saja lagi kerusi untuk simple majoriti.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli sendiri cukup yakin dapat tambahan kerusi itu daripada Johor, Sabah dan Sarawak.

"Pada pilihan raya umum 2008, kami (PR) menang 82 kerusi. Status quo jumlah kerusi 2008 akan kekal, selepas tolak dan tambah kerusi yang akan dimenangi dan kemungkinan kalah, kami yakin akan memperoleh kerusi tambahan di Johor, Sabah dan Sarawak," katanya tidak lama dahulu.

Secara purata, katanya, Rafizi berkata, PR boleh memperoleh 24 kerusi,masing-masing lapan dari Johor, Sabah dan Sarawak.

"Di Johor, daripada 26 kerusi Parlimen, sebanyak 18 kerusi beradadalam bahaya, kesemua kerusi-kerusi yang mempunyai pengundi campuran,"katanya.

Itulah dimomok-momokkan pembangkang semata-mata nak tunjuk mereka dah dekat dengan Putrajaya supaya pengundi atas pagar terus percaya PRU 12 memang sudah dalam tangan pembangkang.

Apatah lagi ada penganalisa politik juga nyanyi lagu sama.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin contohnya jangka BN memperoleh dalam lingkungan 120 kerusi.

Walaupun kata kemenangan masih memihak pada BN dalam pilihan raya nanti tetapi kenyataannya juga nampak mahu menyokong angka diberikan pemimpin pembangkang.

Dalam PRU 2008, BN memperoleh 140 kerusi, manakala pembangkang 84.

Bagaimanapun, berdasarkan berdasarkan statistik semasa, BN memiliki 137 kerusi, manakala PKR (23), DAP (29), Pas (22) dan Parti Sosialis Malaysia (satu), Bebas (lapan) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (satu).

Satu kerusi kosong berikutan kematian ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo Lo Ghazali pada Ogos 2011.

Jadi biarlah pembangkang nak nyanyi berapa kerusi mereka bakal menang tetapi mungkin sebenarnya mereka kecut perut dengan jangkaan Ketua Penerangan UMNO bahawa BN mampu merampas 20 kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang, sekali gus meraih kemenangan majoriti dua pertiga PRU nanti.

Malah Datuk Ahmad Maslan berkata beliau yakin BN dapat mempertahankan 140 kerusi Parlimen yang dimenangi sekarang serta merampas lima daripada 23 kerusi Pas, lima daripada 29 kerusi DAP dan 10 daripada 31 kerusi PKR.

Beliau berkata, keyakinan tersebut berdasarkan pelbagai faktor termasuk masalah yang dihadapi pembangkang di beberapa kawasan yang dimenangi mereka sebelum ini.

"Semua perkara ini logik kerana sebagai contoh, tujuh kerusi PKR sudah bermasalah di mana enam daripadanya telah cabut masuk bebas sementara satu lagi kalah di Hulu Selangor," katanya pada Sabtu.

Sebelum ini memang tak ada pemimpin BN cakap pasal angka itu kecuali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan boleh menang besar jika tidak ada unsur sabotaj pada pilihan raya nanti.

Sebenarnya Ahmad bukan bikin gempak tetapi ada logiknya jika dinilai keadaan pembangkang sekarang yang sarat dengan masalah.

PKR dengan masalah moral pemimpinnya dan gagal tunaikan janji pilihanraya lalu, DAP dan PAS sekarang bergelut pasal isu di Kelantan selain Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun tidak kurang dengan beban masing-masing.

Ada pemerhati politik meramalkan kerusi milik pembangkang terutama PKR dan PAS akan merosot Kalau adapun pertambahan kerusi hanya babitkan DAP.

Namun, perang angka siapa yang dapat kerusi lebih dalam PRU 13 akan berterusan hinggalah Najib bubarkan parlimen.Bila tarikhnya...mari kita sama-sama teka.

Tuesday, December 25, 2012

Rujuk Sejarah, Tragedi 13 Mei Bukan Komplot UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 25 Dis. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasa kesal dan amat terkilan dengan artikel yang disiarkan dalam Edge Financial Daily versi tempatan berkaitan tragedi 13 Mei 1969 yang membuat tuduhan bahawa kononnya tragedi tersebut adalah hasil daripada perancangan UMNO.

Menerusi artikel yang bertarikh 17 Disember 2012, didakwa tragedi 13 Mei 1969 adalah perancangan sekumpulan pemimpin-pemimpin UMNO yang mahukan Presiden parti ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga Perdana Menteri Malaysia ditumbangkan.

“Perkara tersebut adalah tidak benar kerana fakta yang jelas tidak pernah dirahsiakan berkaitan punca utama berlakunya kekacauan pada tarikh tersebut malah ia menjadi iktibar kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa,” tegasnya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, ketika peristiwa 13 Mei 1969, beliau berusia 18 tahun dan tahu bagaimana peritnya kekacauan yang telah mengorbankan ratusan nyawa selain kemusnahan yang besar.

“UMNO juga tidak pernah bertindak meminggirkan apatah lagi menumbangkan mana-mana ketuanya malah parti ini mempunyai struktur kukuh dan organisasi yang mantap dengan setiap proses yang berlaku adalah berdasarkan kepada struktur yang ada sebagaimana digariskan dalam Perlembagaan parti.

“Peralihan tampuk kepimpinan daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Razak adalah satu proses penyerahan yang berlangsung selepas darurat ekoran tragedi 13 Mei 1969 ini dan ia dilaksanakan tanpa sebarang komplot sebagaimana yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Tegasnya lagi, sewajarnya mana-mana pihak yang mahu menulis atau bercakap berkaitan tragedi 13 Mei 1969 akan merujuk kepada fakta sejarah dan bukannya melakukan kesimpulan berasaskan kepada pandangan peribadi atau ada kepentingan politik tersendiri.

“Fakta sejarah tidak pernah menipu malahan secara jelas bahawa tragedi tersebut tercetus ekoran perarakan yang dibuat oleh parti pembangkang selepas berjaya memperolehi kerusi yang banyak dalam pilihan raya pada tahun terbabit sehinggakan mereka ini melakukan provokasi dan menghina bangsa lain di Ibu Kota.

“Tragedi 13 Mei 1969 ini menjadi sejarah pahit dan tauladan kepada rakyat dan kerana itu jugalah maka kerajaan sedar bahawa perpaduan adalah kunci utama dalam kesejahteraan sebagaimana digariskan dalan gagasan 1Malaysia untuk dimanifestasi dengan masyarakat negara ini atas kerukunan kesatuan dalam kepelbagaian.”


Katanya, antara faktor lain yang menyumbang kepada peristiwa 13 Mei adalah Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969 ekoran keterbukaan kerajaan yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara terbuka yang kemudiannya dimanipulasi oleh pembangkang sehingga mewujudkan sentimen kebencian dalam masyarakat.

Dilaporkan dalam pilihan raya tersebut, secara teknikal parti pembangkang iaitu DAP telah menang besar lantas pada 11 dan 12 Mei 1969 mereka telah meraikan kemenangan dengan berarak di Kuala Lumpur dan Kampung Baru yang didiami lebih 30,000 orang Melayu termasuklah rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris.

Menurut rujukan oleh Ramlah Adam (dipetik oleh Ramlah Adam dalam Democartic Action Party,1969, Dap General Elactions Manifesto, Out Triple objektif Toward a Malaysian Malaysia), DAP berarak sambil mengeluarkan kata-kata yang menghina orang Melayu seperti Melayu sudah jatuh, Kuala Lumpur sekarang Cina punya, ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu halau semua Melayu.

Pada ketika ini dikatakan mereka telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan.

Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan ’menyapu’ (menyingkir) orang-orang Melayu ke laut sementara dalam masyarakat Melayu pula penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Lebih teruk lagi, dilaporkan ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.

Ekoran tragedi tersebut, bukan hanya darurat diisytuharkan malah angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan selain 211 kenderaan musnah. – MediaUMNO

[Bila Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat BERSATU] Rakyat terus terbela, NBOS-7 antara JANJI DITEPATI


TAMPIN  - Kesedihan seorang ibu tunggal bersama lima anaknya yang hanya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, kini terubat dan kehidupan kembali gembira apabila rumah baru dibina untuk mereka.

Semuanya hasil Program Strategi Lautan Biru Negara Ke-7 (NBOS-7): Kejiranan Indah yang dilaksanakan kerajaan demi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat dengan projek atau idea kreatif melalui kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Pekerja kilang, Norlia Jaudin, 47, yang tinggal di Kampung Gedok Sawah, Gemencheh dekat sini kehilangan rumahnya akibat dijilat api pada 1 Februari lalu.

"Sejak itu, saya dan anak-anak terpaksa tinggal menyewa dan susah hati memikirkan masa depan kerana rumah kami sudah tiada," katanya.

Kesusahan keluarga itu mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri yang diketuai Pengarahnya, Saadon Moktar.

Melalui beberapa penilaian dan penyiasatan, Norlia akhirnya dipilih sebagai penerima projek Kejiranan Indah bagi membina rumah baru untuk keluarga berkenaan.

Saadon berkata, inisiatif itu membabitkan peruntukan sebanyak RM40,000 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kerja pembinaannya dilakukan oleh 23 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ini.

"Dengan kemahiran tertentu yang ada pada setiap anggota itu, kerja pembinaan itu berjaya disiapkan dalam tempoh lima minggu bermula 5 September lalu.

"Pembinaan secara gotong-royong ini telah berjaya menjimatkan kos sehingga RM20,000 berbanding jika projek ini diserahkan kepada kontraktor swasta," katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah itu di sini kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd. Kamil Abd. Aziz. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Amer Yusof.

Sementara itu Mohd. Kamil berkata, NBOS yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bukti kerajaan sentiasa komited untuk membela nasib rakyat dan ia terpapar dengan jelas dalam kes yang membabitkan Norlia.

Bagi Norlia, dia amat menghargai usaha kerajaan itu yang membolehkan keluarganya kembali menikmati kehidupan yang ceria.