KUALA LUMPUR, 25 Dis. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor merasa kesal dan amat terkilan dengan artikel yang
disiarkan dalam Edge Financial Daily versi tempatan berkaitan tragedi 13
Mei 1969 yang membuat tuduhan bahawa kononnya tragedi tersebut adalah
hasil daripada perancangan UMNO.
Menerusi artikel yang bertarikh 17 Disember 2012, didakwa tragedi 13
Mei 1969 adalah perancangan sekumpulan pemimpin-pemimpin UMNO yang
mahukan Presiden parti ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang
juga Perdana Menteri Malaysia ditumbangkan.
“Perkara tersebut adalah tidak benar kerana fakta yang jelas tidak
pernah dirahsiakan berkaitan punca utama berlakunya kekacauan pada
tarikh tersebut malah ia menjadi iktibar kepada masyarakat yang terdiri
dari pelbagai bangsa,” tegasnya kepada UMNO-Online.
Jelasnya, ketika peristiwa 13 Mei 1969, beliau berusia 18 tahun dan
tahu bagaimana peritnya kekacauan yang telah mengorbankan ratusan nyawa
selain kemusnahan yang besar.
“UMNO juga tidak pernah bertindak meminggirkan apatah lagi
menumbangkan mana-mana ketuanya malah parti ini mempunyai struktur kukuh
dan organisasi yang mantap dengan setiap proses yang berlaku adalah
berdasarkan kepada struktur yang ada sebagaimana digariskan dalam
Perlembagaan parti.
“Peralihan tampuk kepimpinan daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun
Razak adalah satu proses penyerahan yang berlangsung selepas darurat
ekoran tragedi 13 Mei 1969 ini dan ia dilaksanakan tanpa sebarang
komplot sebagaimana yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab ini,”
katanya yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Tegasnya lagi, sewajarnya mana-mana pihak yang mahu menulis atau
bercakap berkaitan tragedi 13 Mei 1969 akan merujuk kepada fakta sejarah
dan bukannya melakukan kesimpulan berasaskan kepada pandangan peribadi
atau ada kepentingan politik tersendiri.
“Fakta sejarah tidak pernah menipu malahan secara jelas bahawa
tragedi tersebut tercetus ekoran perarakan yang dibuat oleh parti
pembangkang selepas berjaya memperolehi kerusi yang banyak dalam pilihan
raya pada tahun terbabit sehinggakan mereka ini melakukan provokasi dan
menghina bangsa lain di Ibu Kota.
“Tragedi 13 Mei 1969 ini menjadi sejarah pahit dan tauladan kepada
rakyat dan kerana itu jugalah maka kerajaan sedar bahawa perpaduan
adalah kunci utama dalam kesejahteraan sebagaimana digariskan dalan
gagasan 1Malaysia untuk dimanifestasi dengan masyarakat negara ini atas
kerukunan kesatuan dalam kepelbagaian.”
Katanya, antara faktor lain yang menyumbang kepada peristiwa 13 Mei
adalah Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969 ekoran keterbukaan kerajaan
yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara terbuka yang
kemudiannya dimanipulasi oleh pembangkang sehingga mewujudkan sentimen
kebencian dalam masyarakat.
Dilaporkan dalam pilihan raya tersebut, secara teknikal parti
pembangkang iaitu DAP telah menang besar lantas pada 11 dan 12 Mei 1969
mereka telah meraikan kemenangan dengan berarak di Kuala Lumpur dan
Kampung Baru yang didiami lebih 30,000 orang Melayu termasuklah rumah
Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris.
Menurut rujukan oleh Ramlah Adam (dipetik oleh Ramlah Adam dalam
Democartic Action Party,1969, Dap General Elactions Manifesto, Out
Triple objektif Toward a Malaysian Malaysia), DAP berarak sambil
mengeluarkan kata-kata yang menghina orang Melayu seperti Melayu sudah
jatuh, Kuala Lumpur sekarang Cina punya, ini negeri bukan Melayu punya,
kita mahu halau semua Melayu.
Pada ketika ini dikatakan mereka telah berarak dengan mengikat
penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka
menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan.
Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang
mereka akan ’menyapu’ (menyingkir) orang-orang Melayu ke laut sementara
dalam masyarakat Melayu pula penyapu mempunyai konotasi yang negatif
(sial). Lebih teruk lagi, dilaporkan ada yang mencaci dan meludah dari
atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
Ekoran tragedi tersebut, bukan hanya darurat diisytuharkan malah
angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143
ditahan selain 211 kenderaan musnah. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment