KUALA LUMPUR, 28 Dis – Kenyataan DAP dan PKR yang bertegas mahukan
Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mengenepikan cadangan agar Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menduduki kerusi Perdana Menteri (PM)
sekiranya Pakatan Pembangkang memenangi PRU ke 13 nanti, memperlihatkan
sikap tidak demokratik Pakatan Pembangkang di dalam soal pemilihan ketua
untuk menerajui negara.
Ini disebabkan, jawatan yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
baik di dalam parti PKR, mahu pun di dalam gabungan Pakatan Pembangkang
merupakan jawatan lantikan dan bukannya pemilihan secara demokrasi yang
berlaku di peringkat akar umbi, demikian menurut kata Timbalan Dekan
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM),
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.
“Sedangkan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan seorang pemimpin
yang dipilih oleh ahli akar umbi mengikut saluran demokrasi yang
sebenar. Bagaimana kita mahu meletakkan seorang pemimpin yang tidak
tidak dipilih secara demokrasi di dalam partinya sendiri untuk
menerajui negara yang berpegang kepada prinsip demokrasi?
“Sepatutnya, Presiden Pas lebih layak lantaran jawatan yang dipegang
beliau di dalam parti adalah berdasarkan pemilihan ahli di peringkat
akar umbi. Jadi, daripada sudut demokrasi, ternyata Abdul Hadi lebih
layak berbanding Anwar untuk jawatan PM,” tegas beliau kepada
UMNO-Online di sini hari ini.
Tambahnya lagi, sekiranya DAP dan PKR terus bertegas mahukan Datuk
Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui negara ini sekiranya Pakatan
memenangi PRU yang akan datang, keputusan ini secara tidak langsung
telah bercanggah dengan prinsip-prinsip demokrasi di negara ini.
Jelas beliau, jawatan Ketua Umum di dalam PKR tidak wujud dalam
perlembagaan parti. Jawatan tersebut diwujudkan hanya untuk Anwar dan ia
langsung tidak melalui proses pemilihan secara demokrasi untuk jawatan
tersebut.
“ Jadi bagaimana kita mahu mengambil seorang pemimpin, untuk memimpin
sebuah negara demokrasi, sedangkan jawatan yang dipegangnya di dalam
parti itu tidak wujud dan tidak melalui sistem pemilihan demokrasi yang
betul?
“Bukankah itu ternyata bercanggah dengan sistem amalan dan prinsip
demokrasi di negara ini? Sepatutnya, Pakatan Pembangkang memilih seorang
pemimpin yang memegang jawatan tertinggi di dalam parti yang melalui
proses pemilihan secara demokrasi oleh akar umbi.
“Jadi, bagaimana mungkin untuk melantik Datuk Seri Anwar sebagai PM,
sedangkan jawatan yang disandang oleh beliau sendiripun di dalam parti
tidak melalui proses pemilihan secara demokrasi?,” soalnya lagi.
Beliau juga berpendapat DAP dan PKR sepatutnya menghormati cadangan
Pas yang mencadangkan presiden parti tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang untuk memegang jawatan PM jika ditakdirkan mereka menguasai
kerajaan kelak.
“Malaysia mengamalkan prinsip demokrasi dan parti-parti gabungan di
dalam Pakatan Pembangkang juga harus menghormati prinsip ini, sekiranya
mereka mahu memerintah negara ini.
“Justeru itu, pemimpin yang layak untuk untuk dipilih sebagai ketua
negara adalah pemimpin yang mempunyai legitimasi melalui proses
pemilihan jawatan secara demokrasi di dalam parti mereka sendiri
terlebih dulu, dan bukannya pemimpin yang memegang jawatan parti yang
tidak melalui proses secara demokrasi di dalam partinya sendiri,”
jelasnya. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment