TAMPIN - Kesedihan seorang ibu tunggal bersama lima anaknya yang hanya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, kini terubat dan kehidupan kembali gembira apabila rumah baru dibina untuk mereka.
Semuanya hasil Program Strategi Lautan Biru Negara Ke-7 (NBOS-7): Kejiranan Indah yang dilaksanakan kerajaan demi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat dengan projek atau idea kreatif melalui kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Pekerja kilang, Norlia Jaudin, 47, yang tinggal di Kampung Gedok Sawah, Gemencheh dekat sini kehilangan rumahnya akibat dijilat api pada 1 Februari lalu.
"Sejak itu, saya dan anak-anak terpaksa tinggal menyewa dan susah hati memikirkan masa depan kerana rumah kami sudah tiada," katanya.
Kesusahan keluarga itu mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri yang diketuai Pengarahnya, Saadon Moktar.
Saadon berkata, inisiatif itu membabitkan peruntukan sebanyak RM40,000 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kerja pembinaannya dilakukan oleh 23 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ini.
"Dengan kemahiran tertentu yang ada pada setiap anggota itu, kerja pembinaan itu berjaya disiapkan dalam tempoh lima minggu bermula 5 September lalu.
"Pembinaan secara gotong-royong ini telah berjaya menjimatkan kos sehingga RM20,000 berbanding jika projek ini diserahkan kepada kontraktor swasta," katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah itu di sini kelmarin.
Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd. Kamil Abd. Aziz. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Amer Yusof.
Sementara itu Mohd. Kamil berkata, NBOS yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bukti kerajaan sentiasa komited untuk membela nasib rakyat dan ia terpapar dengan jelas dalam kes yang membabitkan Norlia.
Bagi Norlia, dia amat menghargai usaha kerajaan itu yang membolehkan keluarganya kembali menikmati kehidupan yang ceria.
No comments:
Post a Comment