Tuesday, February 19, 2013

Pertahan kalimah Allah




Dr. Haron Din

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dalam ceramah di sebuah masjid di Taiping, Perak baru-baru ini sekali lagi menegaskan beliau akan mempertahankan kalimah Allah sehingga ke akhir hayatnya.

Berikut adalah kenyataan beliau seperti dipetik daripada blog http://pi5au.blogspot.com dalam entri bertarikh 16 Februari lalu:

''...tetapi apa kesan kepada masyarakat? Orang Islam masih ada yang menyokong. Dia dengar saya agak bertegas sikit, mereka hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) maki saya... sempit fikiran, tak faham situasi, tak reti bahasa. Tak apa... tidak mengapa.

''Tetapi macam mana boleh kita terima? Apa tujuannya orang Kristian nak terjemah Bible mereka daripada 'god' kepada Allah? Apa tujuan mereka?

''Dulu tahun 2008, bila timbul isu ini, saya panggil wartawan semua datang ke rumah. Saya dah bawa Bible ketika itu. Saya tunjuk al-Quran pada ketika itu. Saya tidak akan setuju kerana Allah yang saya sembah, tuan-tuan sembah, orang Islam sembah... Allah yang selama-lamanya 'qulhu Allahu ahad'.

''Kalau kita benarkan, kita rela dan kita reda Allah diletak kepada 'god', maknanya kita merelakan Allah itu disyirikkan oleh manusia.

''Atas itu, saya mengambil kesempatan malam ini nak menyeru lagi sekali, saya sebut ini di mana pun, saya akan pertahankan kalimah ini sampai akhir hayat saya. Saya tidak akan reda dengan Allah yang dikufurkan."




Monday, February 18, 2013

Syukur... dari ratusan negara, harga minyak Malaysia antara paling murah di dunia


minyak513
Kita tunggu apa lagi pembangkang nak memekak lepas ini, setelah penyelidikan oleh agensi berita kewangan antarabangsa Bloomberg, menyenaraikan harga minyak di Malaysia, iaitu pada RM7.29 segelen atau RM1.90 seliter yang kelapan paling murah di dunia dan nombor satu di Asia Tenggara.
Ini penyelidikan yang dibiayai oleh mana-mana kerajaan, sebaliknya kajian Bloomberg itu adalah untuk pelanggan-pelanggan mereka di serata dunia buat perbandingan bagi tujuan pelaburan.
Syukur alhamdulillah dan terima kasih kerajaan Barisan Nasional.
Bloomberg yang buat penyelidikan bertajuk ‘Highest & Cheapest Gas Prices by Country’ itu, harga petrol di negara ini dalam dolar Amerika Syarikat (AS) adalah pada AS$2.36 segelen, juga paling murah di Asia Tenggara.
Lebih menarik lagi kajian itu dibuat berdasarkan himpunan profil data daripada Associates for International Research Inc (AIRINC); portal pemantau tenaga Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF); dan Energy Information Administration dari Amerika Syarikat (AS).
Bloomberg dalam kajiannya membabitkan 60 negara itu menyenaraikan Venezuela sebagai negara dengan harga petrol paling murah di dunia, diikuti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Nigeria, Malaysia, Mexico dan AS.
Turki disenaraikan sebagai negara dengan harga petrol paling mahal di dunia, diikuti Norway, Belanda, Itali, Portugal, Greece, Sweden, Belgium, Perancis dan Denmark.
Dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia berada di tempat ke-11, Thailand (13), Filipina (17) dan Singapura ke-22).
Harga petrol di Singapura dijual pada AS$6.26 atau RM19.43 segelen; Indonesia (AS$3.66 atau RM11.31 segelen); Thailand (AS$4.42 atau RM13.65 segelen); dan Filipina (AS$4.87 atau RM15.05 segelen). Purata 1.17 liter sehari
Bagi Malaysia, kajian Bloomberg itu menyatakan, seorang rakyat di negara ini perlu membelanjakan 7.5 peratus daripada purata gaji harian mereka, iaitu AS$32 (RM98.90) sehari untuk membeli segelen petrol.
Mengikut kajian itu, secara purata seorang penduduk negara ini menggunakan 0.31 gelen (1.17 liter) petrol sehari.
Sebagai perbandingan di rantau ini, seorang penduduk di Indonesia dengan purata pendapatan harian AS$11 (RM33.99) perlu membelanjakan 33 peratus, manakala di Thailand yang penduduknya memiliki purata gaji harian AS$17 (RM52.53) pula 25 peratus.
Rakyat Filipina dengan pendapatan harian AS$7.11 (RM21.96) perlu membelanjakan purata 69 peratus, sementara penduduk Singapura yang memperoleh purata pendapatan harian AS$139 (RM429.5) sehari sebanyak 4.5 peratus.
Berbanding sembilan negara dengan harga petrol paling murah pula, yang mana kecuali Mexico adalah dalam kalangan 20 negara yang memiliki rizab minyak terbesar, penduduk Venezuela dengan purata pendapatan harian AS$31 (RM95.79) hanya perlu membelanjakan 0.2 peratus, manakala penduduk Arab Saudi dengan purata pendapatan harian AS$64 (RM197.76), sebanyak 0.7 peratus.
Penduduk Kuwait pula dengan purata pendapatan harian AS$123 (RM380.07) perlu membelanjakan 0.7 peratus; sementara penduduk Mesir dengan purata pendapatan harian AS$9.04 (RM27.93) pula sebanyak 13 peratus.
Di UAE, penduduknya dengan purata pendapatan harian AS$180 (RM556.20) perlu membelanjakan satu peratus dan penduduk di Iran dengan purata pendapatan harian AS$18 (RM55.62), sebanyak 12 peratus.
Penduduk di Nigeria yang memiliki purata pendapatan harian AS$4.74 (RM14.64) perlu membelanjakan 49 peratus, manakala penduduk Mexico dengan purata pendapatan harian AS$29 (RM89.61) sebanyak 11 peratus. Penduduk di AS dengan purata pendapatan harian AS$140 (RM432.60) pula perlu membelanjakan sebanyak 2.4 peratus.
Berbanding Turki, rakyatnya yang berpendapatan purata AS$30 (RM92.70) sehari pula perlu membelanjakan purata 33 peratus daripada gaji mereka untuk membeli segelen bahan api itu.
Sementara itu, rakyat Pakistan dengan purata pendapatan harian sekitar AS$3.55 (RM10.96) sehari, iaitu paras paling rendah dalam kalangan 60 negara dikaji, terpaksa bekerja kira-kira sehari setengah hanya untuk membeli segelen petrol.
Negara yang dipilih dalam kajian Bloomberg itu adalah negara yang memiliki purata pendapatan individu minimum AS$3.50 (RM10.81) sehari, manakala harga petrol yang dinyatakan pula berasaskan pada harga segelen petrol biasa tanpa plumbum dalam nilai dolar AS.
Harga yang diambil kira pula ialah yang paling murah bagi setiap negara berikutan gred petrol berbeza mengikut negara.
Maklumat data negara yang terbabit dalam kajian itu diperoleh agensi berita itu daripada CIA World Factbook dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Sunday, February 17, 2013

Orang Lama Tidak Terpilih Jadi Calon Tidak Boleh Kecil Hati – Isa Samad


Wakil rakyat veteran atau yang telah lama berkhidmat tidak seharusnya berkecil hati sekiranya tidak dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata bekas 
Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Katanya mereka yang tidak terpilih wajar menerima dengan hati terbuka dan bersedia memberi peluang kepada pemimpin pelapis untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dan Umno terus relevan.
“Orang macam saya kalau tidak terpilih tidak boleh kecil hati kerana sudah bertanding berkali-kali,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program televisyen Sentuhan Ikon terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Felda berkata mereka yang tidak terpilih juga perlu terus memberi sokongan kepada calon yang dipilih iaitu turut turun berkempen di seluruh negara.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding, Mohd Isa berkata: “Kalau tidak terpilih kita turun bantu jentera parti berkempen, sebab zaman saya dulu bertanding orang lain juga turun bantu kita.”
Mengulas mengenai dakwaan kumpulan pelajar dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dihalang ketika mahu memasuki kawasan Felda di Pahang baru-baru ini, Mohd Isa berkata pihak berkenaan perlu berfikir mengapa mereka tidak diterima  masyarakat setempat.
“Kalau orang tidak bagi masuk, kenapa mahu masuk juga. Macam orang tidak beri kita masuk rumah, mengapa kita perlu masuk. Masyarakat tidak terima kerana mereka hidup aman damai kenapa perlu masuk untuk pecah belahkan dan kacau harmoni,” katanya.

Thursday, February 14, 2013

Pilihan Raya Umum 2008 Pembangkang Jual Janji, 2013 Jual Fitnah


Semakin hampir tarikh pilihan raya, pembangkang semakin terdesak, fitnah dan pembohongan menjadi modal ceramah untuk memburuk-burukkan kerajaan kerana menyedari taktik yang digunakan ketika pilihan raya 2008 tidak lagi diterima rakyat.

Exco Wanita UMNO, Suraya Yaacob berkata pada pilihan raya lalu, pembangkang telah menggunakan taktik dengan membuat pelbagai janji untuk mendapatkan sokongan dan apa yang dilakukan membuahkan hasil sehingga berjaya menawan beberapa negeri.

“Kali ini, pembangkang tidak berani membuat pelbagai janji seperti apa yang dilakukan pada pilihan raya 2008, mereka nampaknya lebih mirip kepada membuat fitnah terhadap kerajaan dan individu dalam usaha untuk mendapatkan sokongan.

“Antara fitnah yang dibuat oleh pembangkang ialah mengatakan negara ini akan bangkrap jika terus diperintah oleh Barisan Nasional, sedangkan pencapaian negara terus mendapat pujian daripada negara luar dalam menangani kemelut ekonomi global.

“Mereka sebenarnya sudah kehabiasan modal, rakyat telah kehilangan kepercayaan kepada pembangkang, lihat apa yang sudah dilakukan oleh pembangkang sejak memerintah Kedah, tiada pembangunan yang dibuat untuk rakyat Kedah,” katanya kepada UMNO-online.

Suraya berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini politik tempatan berhubung tindakan pembangkang lebih cenderung membuat fitnah dalam siri ceramah yang diadakan terutama di kawasan luar bandar.

Beliau yang juga ADUN Sungai Tiang, Kedah berkata pembangkang terpaksa bertindak sedemikian kerana ingin menutup permasalahan yang berlaku di kalangan parti dalam pakatan pembangkang apabila mereka tidak bersependapat dalam sesuatu isu.

“Macam mana nak perintah negara, jika mereka sendiri tidak bersependapat dalam sesuatu isu yang besar seperti apa yang berlaku sekarang, mereka tiada perancangan untuk negara, niat mereka sebenarnya lebih untuk merampas tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional.

“Kita lihat apa yang dilakukan mereka, mereka cuba mengheret rakyat degan meniru seperti apa yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat, mereka buat perhimpunan untuk dapatkan sokongan yang kononnya itu adalah suara rakyat,” katanya.

Suraya berkata, beliau tidak hairan jika pembangkang akan terus menyerang kerajaan dengan pelbagai fitnah dan pembohongan, yang penting pada adalah untuk menimbulkan persepsi buruk rakyat kepada kerajaan dan akhirnya menyokong mereka. -MediaUMNO

Sunday, February 10, 2013

Rakyat bangkit beri amaran PAS Kedah

Kuala Nerang, 10 Feb : ‘Rali Selamatkan Kedah’ yang disertai 5,000 rakyat negeri ini, adalah amaran kepada kerajaan PAS Kedah supaya tidak menutup kepincangan isu pembalakan di kawasan berhampiran Tasik Pedu dekat sini.

 Sebahagian peserta  berkumpul ketika menyertai   Rali Selamatkan Kedah  di Tasik Pedu, semalam. - Foto Shahrizal Md Noor 
Sebahagian peserta berkumpul ketika menyertai Rali Selamatkan Kedah di Tasik Pedu, semalam. – Foto Shahrizal Md Noor

Perhimpunan anjuran Jaringan Gelombang Merah Kedah itu mendesak kerajaan PAS Kedah menghentikan pembalakan di kawasan itu serta-merta.

Pengerusinya, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata jumlah kehadiran itu memadai untuk menunjukkan kepada kerajaan PAS Kedah bahawa rakyat belum melupakan isu itu dan mereka mahu tindakan segera diambil.
Mereka dakwa kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar diperoleh Mac sedangkan pembalakan sudah dilaksana,” Mahadzir Khalid, ADUN Pedu
Katanya, aktiviti pembalakan berkenaan menimbulkan pelbagai musibah termasuk kesan sampingan yang akan dihadapi oleh penduduk berhampiran.

Beliau berkata, semua pihak sedar pembalakan itu mendapat liputan meluas media selain tujuan perhimpunan itu membuktikan wajah sebenar kerajaan negeri yang selama ini mengaku memperjuangkan nasib rakyat.

“Mereka (kerajaan negeri) mendakwa pembalakan itu bagi menggantikannya dengan tanaman buah-buahan seperti anggur, sekali gus melaksanakan projek ladang rakyat. Kerajaan negeri turut menyatakan ia bakal menjadi lokasi tumpuan pelancong kerana projek terbabit.

“Alasan itu langsung tidak relevan. Adakah mereka sedar bahawa pelancong asing datang ke negara ini bukan nak tengok anggur kerana di negara mereka banyak tanaman berkenaan.

“Mereka datang untuk melihat kehijauan, flora dan fauna. Seharusnya kerajaan negeri memelihara hutan ini bukan menggondolnya,” katanya di sini, semalam.

‘Cuci mangkuk’

Ahli Dewan Undangan Negeri Pedu, Datuk Seri Mahadzir Khalid, berkata pembalakan yang diluluskan kerajaan negeri adalah berkonsep ‘cuci mangkuk’ kerana menebang pokok tidak mengira saiz ditetapkan.

Katanya, beliau mengakui ketika kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), pihaknya ada menjalankan aktiviti pembalakan, namun semua pokok diukur sebelum proses pembalakan dilakukan.

“Apa yang menghairankan, mereka (kerajaan negeri) mendakwa kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Laporan EIA) diperoleh Mac ini sedangkan pembalakan sudah dilaksanakan.

“Ia menunjukkan mereka cuba memperdayakan rakyat khususnya penduduk di kawasan Pedu,” katanya.

Thursday, February 7, 2013

Tiada pertukaran kerusi di Parlimen Telok Kemang

Tiada sebarang pertukaran kerusi di Parlimen Telok Kemang daripada MIC kepada UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, secara tradisinya kerusi tersebut ditandingi wakil Barisan Nasional (BN) daripada MIC.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang meminta para pengundi tidak mendengar khabar angin mengenainya kerana keputusan muktamad akan dibuat pucuk pimpinan apabila tiba masanya kelak.

"Sudah menjadi tradisi calon MIC akan bertanding bagi merampas semula Parlimen tersebut yang sebelum ini dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jadi jangan dengar sebarang khabar angin sehingga keputusan dibuat.

"Pembahagian kerusi diputuskan pucuk pimpinan dan kita akan sokong siapa sahaja calon daripada BN yang bertanding," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Felda Di Hati Janji Ditepati di Dewan Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, Felda Palong Dua, dekat sini semalam.

Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, Datuk S. Sothinathan tewas kepada calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas di kerusi Parlimen Telok Kemang dengan majoriti 2,804 undi.

Friday, February 1, 2013

Hadi Awang semakin angkuh: Puad Zarkashi


 
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai angkuh apabila membuat kenyataan parti itu tidak boleh bekerjasama dengan UMNO.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi itu juga jelas menggambarkan pemimpin PAS berkenaan tidak berfikir secara matang dan berpandangan jauh dalam arena politik.
"Sikap Abdul Hadi itu juga jelas menunjukkan dirinya seorang pemimpin politik yang sudah tidak relevan pada masa kini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Karangkraf 2013 di sini, hari ini.


Mohd Puad mengulas kenyataan Abdul Hadi yang dilapor sebuah akhbar hari ini bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam perkongsian kuasa di negara ini kerana parti itu (BN dan UMNO) tidak tahu memerintah.

Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata sikap PAS itu juga jelas tersasar dengan pendirian parti yang kononnya memperjuangkan Islam apabila sanggup bekerjasama dengan DAP yang berbeza agama tetapi menolak UMNO.

"Sejarah sendiri jelas membuktikan bahawa UMNO dan PAS pernah bekerjasama sebelum ini dan sangat menghairankan apabila PAS sanggup bersama pakatan yang menolak Islam termasuk dalam isu kalimah Allah," katanya.

Sementara itu, Mohd Puad turut mencabar Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh mengambil tindakan terhadap beberapa penyokong PAS yang baru-baru ini mengadakan demonstrasi membantah gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
"Saya sudah kenal pasti tiga daripada mereka yang terbabit adalah ahli PAS yang turut memijak poster Guan Eng dan lambang parti DAP, jadi Karpal sebagai peguam patut ambil tindakan dan desak untuk memecat mereka yang terbabit," katanya.

Pada 27 Januari lalu, beberapa penyokong PAS mengadakan perhimpunan aman di sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah, mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan memohon maaf kepada umat Islam di negara ini secara terbuka dengan segera.

- BERNAMA