Friday, February 1, 2013

Hadi Awang semakin angkuh: Puad Zarkashi


 
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai angkuh apabila membuat kenyataan parti itu tidak boleh bekerjasama dengan UMNO.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi itu juga jelas menggambarkan pemimpin PAS berkenaan tidak berfikir secara matang dan berpandangan jauh dalam arena politik.
"Sikap Abdul Hadi itu juga jelas menunjukkan dirinya seorang pemimpin politik yang sudah tidak relevan pada masa kini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Karangkraf 2013 di sini, hari ini.


Mohd Puad mengulas kenyataan Abdul Hadi yang dilapor sebuah akhbar hari ini bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam perkongsian kuasa di negara ini kerana parti itu (BN dan UMNO) tidak tahu memerintah.

Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata sikap PAS itu juga jelas tersasar dengan pendirian parti yang kononnya memperjuangkan Islam apabila sanggup bekerjasama dengan DAP yang berbeza agama tetapi menolak UMNO.

"Sejarah sendiri jelas membuktikan bahawa UMNO dan PAS pernah bekerjasama sebelum ini dan sangat menghairankan apabila PAS sanggup bersama pakatan yang menolak Islam termasuk dalam isu kalimah Allah," katanya.

Sementara itu, Mohd Puad turut mencabar Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh mengambil tindakan terhadap beberapa penyokong PAS yang baru-baru ini mengadakan demonstrasi membantah gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
"Saya sudah kenal pasti tiga daripada mereka yang terbabit adalah ahli PAS yang turut memijak poster Guan Eng dan lambang parti DAP, jadi Karpal sebagai peguam patut ambil tindakan dan desak untuk memecat mereka yang terbabit," katanya.

Pada 27 Januari lalu, beberapa penyokong PAS mengadakan perhimpunan aman di sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah, mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan memohon maaf kepada umat Islam di negara ini secara terbuka dengan segera.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment